Indonesia rancang melonggarkan sekatan kepada warga asing untuk memasuki negara itu. Foto Google.

JAKARTA – Indonesia merancang untuk melonggarkan sekatan terhadap warga asing yang memasuki negara itu, berkemungkinan dalam tempoh beberapa bulan lagi apabila populasi lengkap divaksin mencapai paras tertentu.

Bagaimanapun, para pegawai kanan kerajaan masih berbelah bahagi mengenai cadangan berkenaan.

Jurucakap petugas khas Covid-19 Kebangsaan, Wiku Adisasmito berkata, warga asing boleh memasuki negara itu apabila 50 peratus hingga 70 peratus daripada sasaran populasi lengkap divaksin tercapai.

Katanya, tempoh itu mungkin tidak berlaku sehingga tahun depan.

Namun begitu, Reuters melaporkan, Menteri Kesihatan, Budi Gunadi Sadikin berkata, pintu sempadan Indonesia akan dibuka sekiranya 70 peratus populasi telah menerima dos pertama.

Sasaran itu dijangka dicapai pada November ini.

Ketika ini, hanya warga asing dengan visa diplomatik atau visa kerja dibenarkan memasuki Indonesia.

Pengecualian juga diberikan kepada pekerja kesihatan yang menyertai misi kemanusiaan serta krew kapal kargo.- Reuters