Gambar Hiasan. Foto AFFAN FAUZI, 22 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Peniaga di setiap rantaian bekalan ayam dinasihatkan supaya tidak mengambil tindakan drastik  menaikkan harga secara mendadak demi menampung kerugian akibat pelaksanaan Perintah kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

Menteri  Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam masa yang sama turut mengingatkan orang tengah dalam perniagaan ini supaya tidak mengambil kesempatan menekan peniaga dan pengguna.

Beliau menerusi kenyataan hari ini mengesahkan, setakat ini tiada perlakuan kartel dikesan sehingga mengakibatkan berlakunya kenaikan harga ayam di pasaran seperti yang dilaporkan baru-baru ini.

Menurut beliau, kementeriannya secara konsisten bekerjasama dengan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (SSP) untuk menyiasat sebarang perlakuan tersebut dan tidak akan berkompromi.

“Sehingga itu, KPDNHEP akan terus fokus dengan memantau pergerakan harga ayam di pasaran menggunakan pendekatan yang telah dijelaskan dari awal termasuk penguatkuasaan perundangan antipencatutan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 diteruskan.

“KPDNHEP memahami kerugian yang dialami oleh pihak peniaga ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang telah menjejaskan perniagaan mereka,” katanya.

Alexander mengulangi pendirian kementerian itu untuk tidak melaksanakan kawalan harga ayam sepanjang masa kecuali yang telah sedia dilaksanakan ketika musim perayaan utama di Malaysia iaitu di bawah Penguatkuasaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP).

Dalam pada itu, beliau memberi amaran tidak akan teragak-agak  bertindak jika harga di setiap rantaian pengedaran ayam semakin meningkat dan tidak munasabah.

“Justeru itu, tindakan semasa adalah melaksanakan pemantauan dan pemeriksaan harga ayam secara konsisten dilaksanakan bagi memastikan tiada berlakunya sebarang manipulasi harga atau untung dalam kalangan peniaga melalui mekanisme kawalan yang dikuatkuasakan melalui perundangan antipencatutan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” tambahnya.

Sementara itu, beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan melaksanakan pendekatan baharu dengan mengeluarkan surat pemberitahuan kepada peniaga peringkat borong dan runcit untuk mengadakan libat urus bersama pengeluar dan penternak ayam di lokasi/lokaliti berlakunya kenaikan harga.

Pendekatan baharu diambil bagi menangani masalah kenaikan harga barang terutama harga ayam yang sering kali berulang, selain membolehkan peniaga menyemak harga barang dan kos belian bagi mendapatkan margin untung yang lebih munasabah, ujarnya.

Di samping itu, jelasnya, pendekatan ini juga bertujuan memberi peringatan kepada peniaga ayam supaya tidak menaikkan harga di mana-mana peringkat rantaian pengedaran sewenang-wenangnya. – MalaysiaGazettPeniaga ayam jangan naikkan harga mendadak untuk tanggung rugi