Mohd Shafie Apdal

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa menumpukan perhatian terhadap isu pekerjaan bawah kelayakan (underemployment) yang kini majoritinya melibatkan siswazah graduan ijazah kerana kekurangan peluang pekerjaan dalam pasaran.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, berdasarkan data  tahun 2020, seramai 260,701 graduan namun jumlah pekerjaan mengikut kelayakan yang tersedia untuk siswazah hanya 73,000 pekerjaan.

Jumlah itu, katanya, merosot 31,000 dari tahun sebelumnya dan seterusnya mengakibatkan pekerja siswazah berebut dengan graduan di bawah kelayakan itu.

Situasi berkenaan jelas beliau menyebabkan ramai siswazah mendapatkan pekerjaan di bawah daripada kelayakan yang mereka perolehi sekaligus menyukarkan golongan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan diploma.

“Apabila mereka berebut mendapatkan pekerjaan melebihi daripada kelayakan, sebagai contohnya pekerjaan yang dikhaskan untuk lepasan SPM atau diploma juga direbut bersama lepasan ijazah, situasi ini sekaligus menyebabkan golongan lepasan SPM dan diploma terpaksa bersaing dengan lepasan ijazah untuk mendapatkan pekerjaan.

“Impak pekerjaan bawah kelayakan ini adalah besar memandangkan ia menyentuh kebolehpasaran golongan B40 yang berpendidikan sederhana dan rendah untuk mendapatkan pekerjaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Oleh kerana berlaku perebutan akhirnya, lepasan SPM dan diploma semakin ketinggalan seterusnya berisiko meningkatkan kadar kemiskinan dalam negara.

“Mereka hilang pekerjaan bilamana pekerjaan mereka diambil oleh siswazah lepasan univerisiti dan boleh menyebabkan mereka jatuh dalam golongan urban poor.

“Ia turut memberikan implikasi yang sama kepada golongan berpendapatan sederhana, M40 yang berumur antara 45-60 tahun. Kehilangan pekerjaan boleh menyebabkan lebih ramai golongan M40 jatuh dalam braket pendapatan B40 dan ini seharusnya dikekang,” tambahnya.

Justeru itu, Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna menyarankan kerajaan mempergiatkan usaha mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bagi siswazah lepasan univeristi demi berlaku adil dengan golongan B40 yang berkelayakan rsederhana dan rendah.

“Bagi tujuan ini, adalah dicadangkan Kerajaan mengutamakan ekonomi gig dan keusahawanan bagi lepasan siswazah yang mencari pekerjaan.

“Di samping itu, perjawatan secara kontrak dengan agensi Kerajaan dan syarikat berkepentingan Kerajaan boleh ditawarkan kepada mereka. Ini merupakan langkah yang efektif untuk membolehkan mereka mengharungi kehidupan di kala pandemik,” katanya lagi.-MalaysiaGazette