Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz melawat Pusat Ternakan Kelah di Asuko Genius Sdn. Bhd. di Kulai, Johor hari ini.- Gambar FB Tengku Zafrul.
KULAI – Kenaikan harga ayam di pasaran hari ini bersifat sementara ekoran pembukaan semula sektor ekonomi negara selepas kekangan pandemik Covid-19.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan akan meneliti kaedah terbaik untuk memstabilkan harga pasarannya dalam industri makanan tempatan yang sedang meningkat naik di seluruh negara ketika ini.

Oleh itu, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

“Kerajaan sedar akan isu harga ayam yang meningkat naik, MOF bersama KPDNHEP dan MAFI akan meneliti cadangan untuk menstabilkan harga ayam di dalam industri makanan tempatan.

“Sebarang keputusan dibuat perlu dilihat daripada segi impak dari segi penternak semua pihak terlibat industri industri lain di dalam rantaian industri makanan yang paling penting sekali adalah impak kepada pengguna itu adalah keutamaan kerajaan,” katanya selepas melawat Pusat Ternakan Kelah di Asuko Genius Sdn. Bhd. di sini hari ini.

Baru-baru ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan MOF selain MAFI bagi mencari penyelesaian jangka panjang munasabah terhadap isu harga ayam.

Kata Tengku Zafrul lagi, kenaikan harga ayam yang berlaku ketika ini adalah kerana ketidaktentuan permintaan pasaran yang berlaku.

Justeru, katanya, pemberian subsidi kepada pengusaha dan penternak ayam akan dibincangkan terlebih dahulu.

Buat masa ini, jelasnya, tiada sebarang keputusan dibuat berhubung perkara itu.- MalaysiaGazette