Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bercakap selepas melawat kediaman penduduk yang terjejas dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Kemensah Height, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 18 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Kawasan tanah runtuh di Kemensah Heights di Ampang telah diisytiharkan sebagai kawasan bencana.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pengisytiharan itu dibuat oleh Unit Pengurusan Bencana Negeri selepas turun meninjau dan membuat pemeriksaan di lokasi kejadian.

Kawasan runtuhan itu juga akan dipasang dengan kain kanvas buat sementara ini oleh pihak berkuasa tempatan menghentikan runtuhan lagi, katanya.

“Kawasan ini bukan kawasan panas berisiko kejadian tanah runtuh seperti Bukit Antarabangsa tetapi selepas berlaku kejadian tanah runtuh yang berpunca dari belakang rumah banglo, kawasan runtuhan ini telah diisytiharkan sebagai kawasan bencana oleh Unit Pengurusan Bencana Negeri.

“Justeru buat masa ini hampir keseluruhan kawasan tanah runtuh ini juga tidak selamat untuk diduduki dan kesemua 28 keluarga yang terjejas itu sudah diarahkan berpindah dan mereka ditempatkan di dewan orang ramai di beberapa tempat di luar kawasan ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau lokasi kejadian hari ini.

Keadaan sekitar lokasi kejadian tanah runtuh yang menyebabkan 28 keluarga yang mendiami 19 buah rumah teres dua tingkat terjejas ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Kemensah Height, Selangor. Foto SYAFIQ MABAK, 18 SEPTEMBER 2021.

Tambah Amiruddin, buat masa ini Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) akan memasang kain kanvas gergasi di kawasan runtuhan bagi mengelak terkena hujan lebat dan unsur lain yang mungkin boleh menyebabkan kerapuhan kepada struktur tanah yang mungkin menyebabkan runtuhan susulan selepas ini.

Menurutnya pihaknya tidak sanggup menangggung risiko kerana takut berlaku runtuhan susulan atau pergerakan dalaman tanah di kawasan runtuhan ekoran cuaca buruk sejak kebelakangan ini.

Justeru kata Amirudin, Jabatan Perairan dan Saliran juga telah turun untuk membuat kerja-kerja membersihkan kawasan bagi memastikan sungai tersumbat akibat tanah runtuh ditangani segera dan mengelak berlaku banjir.

Malah, katanya, lokasi runtuhan adalah melibatkan tanah hak milik, jadi sudah pasti apabila laporan teknikal dari Jabatan Mineral dan Geosains dilengkapkan dalam masa tiga hari.

Kerajaan negeri akan memaklumkan apakah tindakan pemulihan yang perlu dilakukan oleh pemilik tanah atau premis tersebut.

“Saya difahamkan kerajaan Pusat akan menyediakan RM1 juta untuk pemasangan cerucuk besi di lokasi tanah runtuh bagi menghentikan pergerakan, berterima kasih atas kesediaan bagaimanapun kita tunggu laporan teknikal JMG dan MPAJ yang akan dilengkapkan dalam tempoh tiga hari lagi.

“Rabu ini MPAJ akan siapkan laporan penuh kepada kita dan kemudian kita akan melihat nanti apa yang diperlukan nanti,” tegasnya.

Jelas Amirudin, kerajaan negeri juga telah memberikan bantuan kewangan sebanyak RM500 kepada kesemua keluarga yang terjejas untuk digunakan bagi mengurangkan beban mereka dalam situasi kritikal.

“Kita Menteri Besar Incorporated juga telah menghulurkan bakul makanan kepada penduduk terjejas untuk meringankan beban mereka,” ujarnya.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kolam renang, tanah belakang banglo roboh masuk dalam sungai