Keadaan sekitar lokasi kejadian tanah runtuh yang menyebabkan 28 keluarga yang mendiami 19 buah rumah teres dua tingkat terjejas ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Kemensah Height, Selangor. Foto SYAFIQ MABAK, 18 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Kejadian tanah runtuh di Kemensah Heights dipercayai bermula dari bahagian belakang sebuah rumah banglo yang runtuh termasuk kolam renang ke dalam sungai sebelum berlaku pergerakan tanah menyebabkan kediaman lain turut  rosak teruk.

Pengerusi Jawatankuasa Komuniti Kemensah, Mohd Fazil Abdullah berkata, kesan daripada kerosakan teruk, penduduk  tidak dibenarkan masuk ke kawasan itu kerana bimbang soal keselamatan.

Justeru pemantauan MalaysiaGazette sejak pagi tadi mendapati polis menyekat dua laluan ke kawasan perumahan itu yang menuju ke lokasi kejadian bagi mengelak insiden tidak diingini dengan memasang pita kuning dilarang melintas.

Menurut Mohd Fazil, setakat ini, seramai 27 penghuni kediaman Kemensah Height yang terjejas dipindahkan ke sebuah dewan di AU5 sejak 9.30 malam tadi.

“Pagi ini, saya sempat bersama Orang Kaya Gombak dan wakil rakyat masuk ke dalam untuk meninjau keadaan semasa tanah runtuh terbabit di kawasan perumahan.

“Cumanya rumah di sebelah kiri dan kanan rumah banglo terbabit terjejas teruk,” ulasnya.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Norazam Khamis dalam kenyataan malam tadi menyatakan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 9.33 malam.

“Sepasukan anggota bomba bersama beberapa jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, kami mendapati berlaku tanah runtuh di bahagian belakang 19 rumah teres dua tingkat termasuk tiga rumah banglo di kawasan terbabit,” katanya.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Perlu RM1 juta bina cerucuk besi hentikan pergerakan tanah – Azmin