Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bercakap selepas melawat kediaman penduduk yang terjejas dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Kemensah Height, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 18 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Pembinaan cerucuk besi (sheet pile) akan dibina untuk menghentikan pergerakan tanah yang berlaku secara aktif di Kemensah Height yang menjejaskan 19 buah rumah termasuk tiga rumah banglo membabitkan 32 keluarga di Ampang.

Malah laporan teknikal runtuhan itu akan disediakan dalam tempoh tiga hari untuk kerajaan memikirkan kaedah penyelesaian selanjutnya.

Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, langkah itu perlu disegerakan sebelum beralih kepada kerja-kerja penstabilan cerun bukit di lokasi yang sama.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa dan Menteri Perdagangan Antarabangsa itu mendapat maklumat tentang kejadian tanah runtuh lewat malam tadi sebelum turun ke lapangan meninjau sendiri apa yang berlaku.

Beliau juga mengambil langkah segera selepas berbincang dengan Pegawai Daerah Gombak dan Yang DiPertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

“Dalam taklimat tadi, saya dimaklumkan kejadian berlaku sekitar jam 9.30 malam melibatkan tiga lot banglo yang serius berlaku tanah runtuh di belakang rumah-rumah berkenaan sebelum menyebabkan sungai yang mengalir di belakang rumah itu tertimbus dan air sungai melimpah ke kawasan perumahan yang melibatan 16 unit town house (rumah bandar) yang mana kesemuanya 32 keluarga terlibat dalam bencana ini.

“Pihak keselamatan polis, bomba dan serta Jabatan Mineral dan Geosains telah mengarahkan penduduk segera mengosongkan premis dan ditempatkan di beberapa dewan orang ramai di AU2 dan AU5 buat sementara waktu.

“Ketika ini, laporan yang dibentangkan mendapati ada keperluan segera untuk membina sheet pile bagi menghentikan pergerakan tanahĀ  dan saya sangat bimbang cuaca hujan ketika ini yang mana kita tak mahu perkara sama berulang lagi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas turun meninjau lokasi kejadian di sini hari ini.

Tambah Mohamed Azmin, mengikut laporan MPAJ mereka memerlukan sekurang-kurangnya RM1 juta untuk membina sheet pile atau cerucuk besi berkenaan untuk memhentikan pergerakan tanah di lokasi kejadian.

Sehubungan itu, beliau telah menghubungi Menteri Kewangan, Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk melihat bagaimana kerajaan boleh membantu pihak bekuasa tempatan dalam perkara itu.

“Oleh kerana tanah-tanah berlakunya tanah runtuh adalah lot hak milik persendirian maka saya mengambil pendirian kerajaan Persekutuan akan bersama PBT dan kerajaan negeri untuk membantu penduduk.

“Bagi kerajaan, keselamatan dan nyawa penduduk adalah penting dan sentiasa menjadi keutamaan untuk dilindungi setiap masa dari malapetaka seperti ini dan untuk penduduk yang tinggal di town house, Jabatan Mineral dan Geosains memerlukan tiga hari untuk menyiapkan laporan kajian sama ada kediaman itu selamat didiami atau sebaliknya.

“Pada ketika ini laporan awal menunjukkan struktur bangunan masih intact atau kukuh serta tiada pergerakan tanah berlaku yang mana ia hanya membabitkan limpahan tanah yang menimbus sungai itu dan tertakhluk kepada dapatan laporan yang akan dikemukakan dalam tiga hari.

“Sekiranya laporan ini mendapati bangunan itu selamat didiami penduduk akan dibenarkan balik ke rumah masing-masing dan sangat berharap sepanjang tempoh ini penduduk terus memberikan kerjasama dan sabar membolehkan pihak agensi kerajaan mengambil tindakan untuk menjamin keselamatan penduduk,” ujarnya.

Ditanya mengenai sebarang bentuk bantuan yang akan disalurkan kerajaan Pusat kepada keluarga terjejas, Mohamed Azmin percaya Jabatan Kebajikan Masyarakat dan PBT akan menyalurkan bantuan keperluan biasa di tempat perlindungan termasuk bekalan makanan.

Bagaimanapun Mohamed Azmin bersyukur tiada sebarang kemalangan jiwa berlakuĀ  dan menegaskan bahawa kawasan Ampang sememangnya berisiko tinggi berlaku kejadian tanah runtuh.

“Langkah pemulihan kejadian tanah runtuh telah diambil sejak saya menjadi Menteri Besar Selangor dengan menubuhkan jawatankuasa khas menjalankan kajian khas kecerunan di Ampang untuk mengenalpasti kawasan berisiko tinggi.

“Lagi pun kita perlu menyegerakan pembinaan cerucuk besi kerana pergerakan tanah tidak akan membantu kestabilan di cerun lokasi kejadian.

“Sejak insiden besar pada 2014 sebelum ini, kerajaan Pusat memperuntukan wang jumlah besar untuk menstabilkan cerun-cerun di Bukit Antarabangsa maka usaha ini akan diteruskan,” tegasnya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Sangka bunyi monyet rupanya tanah runtuh – Penduduk

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast