Remaja dikhuatiri lepas selepas terjun di dalam empangan untuk menyelamatkan rakannya sedang dicari bomba yang terlibat dalam misi menyelamat hari ini.Ihsan Bomba Selangor.

KUALA LUMPUR – Niat seorang remaja terjun ke dalam empangan bagi menyelamatkan rakannya yang tergelincir bertukar tragedi apabila dia pula lemas.

Kejadian menyayat hati itu berlaku di Empangan di Jambatan Kampung Pertak, Kuala Kubu Bharu hari ini.

Mangsa adalah Hamzah Ilya Azman, 19 yang disyaki lemas dan rakannya bernama Ahmad Nabil Yasin Abdul Rashih, 20, pula berjaya menyelamatkan diri.

Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan sekitar pukul 3.54 petang tadi mengenai insiden itu.

“Kemudian anggota kami bergegas dan tiba ke lokasi jam 4.15 petang tadi. Siasatan mendapati mangsa lemas ketika cuba menyelamatkan kawannya yang terjatuh dalam empangan.

“Kawannya dipercayai tergelincir jatuh dari jambatan ke dalam empangan semasa mengambil gambar sebelum mangsa terjun dengan niat mahu menyelamatkannya.

“Malangnya, dia pula tidak timbul tetapi kawannya sudah berjaya menyelamatkan diri naik ke darat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Norazam, usaha mencari mangsa disyaki lemas itu sedang dipergiatkan oleh anggota bomba.

Beliau menasihatkan semua masyarakat yang melakukan perkelahan atau bercuti dikawasan berair sama ada sungai, air terjun, laut atau di kawasan empangan agar berhati-hati.

Malah beliau menasihatkan supaya orang ramai beredar segera jika cuaca hujan mengelak banjir kilat di kawasan tetsebut serta elak risiko berlaku fenomena kepala air atau kenaikan paras air secara mendadak.

“Bagi yang tracking di hutan, bukit atau tanah tinggi juga dinasihatkan berhati-hati terutama sekarang musim hujan bagi mengelak daripada tersesat, terperangkap di laluan keluar atau terkena panahan petir,” tegasnya.-MalaysiaGazette