Gin Lee dan Ronny Chieng.
JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan rasa bangga dengan kejayaan dua anak kelahiran neegri itu yang menempa nama di luar negara.

Mereka adalah penyanyi dan juga penulis lirik lagu, Gin Lee dan pelawak serta pelakon, Ronny Chieng.

Baginda mengucapkan tahniah di atas pencapaian luar biasa mereka pada peringkat antarabangsa.

“Terima kasih kerana mengharumkan nama Johor. Saya percaya Johor mempunyai banyak bakat terpendam yang masih belum dicungkil.

“Jadikan kejayaan mereka sebagai contoh dan inspirasi kepada rakyat Johor. Saya berharap mereka terus kekal meletakkan nama Johor di mata dunia,” titah Sultan Ibrahim dalam Facebook rasmi baginda hari ini.

Gin Lee mengeluarkan album sulungnya berjudul One And Only pada 29 Disember 2009 selepas menjuarai pertandingan menulis lagu Malaysia’s Universal Music pada usia 18 tahun.

Dua tahun kemudian, Gin Lee yang berhijrah ke Hong Kong mula dikenali sebagai sebagai penyanyi Cantopop selepas menguasai bahasa Kantonis.

Beliau juga menghasilkan beberapa buah lagu popular dan sebuah album berjudul beGin.

Mewakili Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), album tersebut juga menjadikan beliau sebagai Penyanyi Wanita Terbaik pada tahun 2020 di acara AIM Chinese Music Awards.

Penyanyi berusia 34 tahun baru-baru ini telah berganding di atas satu pentas bersama penyanyi popular Hong Kong, Jacky Cheung di acara Miss Hong Kong 2021.

Mereka membawakan lagu duet Let the Street Lights Rest When the Sun Rises.

Bagi Ronny, 35, yang sebelum ini membintangi filem Crazy Rich Asians bersama pelakon popular Malaysia, Henry Goulding kini muncul di dalam filem keluaran Marvel, Shang Chi and The Legend of The Ten Rings yang akan ditayangkan di Malaysia pada Oktober tahun ini.

Beliau bermula sebagai pelawak terkenal sejak zaman universiti, Chieng tampil bersama-sama Trevor Noah pada tahun 2013.

Kerjayanya diteruskan sebagai wartawan senior di The Daily Show yang juga dihoskan oleh Traver Noah.

Pada 2016, Chieng menulis dan membintangi sebuah sitkom yang mengisahkan pengalamannya sebagai pelajar Malaysia di University of Melbourne di Australia bertajuk Ronny Chieng: International Student.

Pada tahun yang sama, beliau  turut tersenarai sebagai salah seorang daripada 10 Comics To Watch oleh Variety.

Persembahan khas komedi beliau Asian Comedian Destroys America! turut disiarkan di Netflix sejak tahun 2019.

Chieng jelas tidak melupakan asal usulnya apabila beliau menunjukkan pasport Malaysia dan fasih bertutur dalam bahasa Melayu dengan mengatakan ‘Johor Bahru kampung saya’. -MalaysiaGazette