Terengganu FC II masih berpeluang untuk bergelar juara Liga Premier.

KUALA LUMPUR – Perebutan trofi Liga Premier 2021 semakin hangat membabitkan pertembungan tiga penjuru apabila Terengganu FC II meraih kemenangan ke atas Kuching City FC semalam sekali gus berpeluang untuk bergelar juara.

Kemenangan 2-0 di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang meletakkan TFC II di tangga ketiga liga dengan 35 mata menyaksikan skuad kendalian Badrul Afzan Razali turut sama berpeluang untuk meraih trofi bersaing sengit dengan dua lagi pasukan iaitu Negeri Sembilan FC dan Sarawak United FC.

Jelasnya, barisan pemain telah mempamerkan persembahan cukup bertenaga untuk menewaskan Kuching City terutamanya di separuh masa kedua untuk meraih dua jaringan.

Justeru, beliau mahu kebangkitan sama dipamerkan mereka untuk perlawanan terakhir menentang Kelantan United FC pada Selasa depan bagi memastikan tiga mata dalam genggaman selain mengharapkan Negeri Sembilan dan Sarawak United tewas dalam aksi terakhir itu.

“Pemain saya agak bergelut sedikit pada separuh masa pertama dan mereka mula bangkit pada separuh masa kedua di mana corak permainan yang lebih baik dipamerkan pemain untuk mendapat dua gol.

“Jadi, untuk perlawanan terakhir ini macam-macam mana pun kena bagi 100 peratus untuk sekurang-kurangnya kita dapat nombor dua liga, tetapi peluang untuk bergelar juara tetap ada dengan mengharapkan Negeri Sembilan dan Sarawak United kalah.

“Kalau kita menang dan mereka kalah, perbezaan gol juga memihak kepada TFC II berbanding dengan Negeri Sembilan, tetapi kalau kita dapat nombor dua pun, saya dah bersyukur sebenarnya”, jelasnya.

Negeri Sembilan ketika ini berada di takhta liga dengan 38 mata manakala Sarawak United di tangga kedua dengan 37 mata.

Dalam pada tu, Badrul turut mengambil positif pembatalan Challenge Cup musim ini sambil menyifatkan anak buahnya tetap berpeluang untuk membantu pasukan utama bersaing di pentas TM Piala Malaysia 2021.

Meskipun saingan Challenge Cup terpaksa dibatalkan, beliau percaya kudrat anak buahnya tidak akan terhenti di saingan Liga Premier sahaja, bahkan tetap bersedia untuk diturunkan di pentas Piala Malaysia bagi membantu skuad kendalian Nafuzi Zain.

Pemain import seperti Argzim Redzovic, Jordan Mintah, Dechi Marcel serta pemain tempatan, Hairiey Hakim antara yang sering dipanggil ke skuad utama untuk memperkuatkan lagi jentera pasukan terutamanya apabila tonggak Terengganu FC dihimpit kecederaan.

“Sebelum ini saya pun dah pernah berbincang dengan Nafuzi sekiranya Challenge Cup batal, dia memang akan ambil sebahagian pemain TFC II, dan sekarang memang dah sah dibatalkan, jadi saya harap pemain-pemain saya akan dapat tolong skuad utama selepas ini.

“Kalau kita lihat pencapaian pemain-pemain yang pernah dipanggil ke skuad utama, mereka tidak pernah mengecewakan dan Alhamdulillah saya berbangga apabila mereka dapat membantu”, jelasnya. – MalaysiaGazette