Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Akta Anti Lompat Parti boleh diperkenalkan dengan syarat Akta Pilihan Raya juga dipinda bagi memberi kelonggaran kepada wakil rakyat sekiranya tidak lagi bersetuju dengan parti yang dianggotainya sebelum ini.

Malah, mereka juga boleh meletak jawatan serta bertanding sebagai calon bebas sekiranya masih berhasrat mahu menjadi wakil rakyat, kata Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan.

Beliau berkata, keadaan seperti itu memberikan keadilan kepada semua pihak antaranya jentera parti yang bertungkus lumus bekerja demi parti, wakil rakyat agar tidak terikat dengan persengketaan dalaman parti dan rakyat agar mandat dikembalikan tanpa rasa dikhianati.

“Satu peristiwa bersejarah dalam politik tanah air telah berlaku seawal pemerintahan Pakatan Harapan pada tahun 2018 apabila kita menyaksikan kepimpinan UMNO Sabah bertindak keluar parti beramai-ramai apabila sembilan daripada 10 Ahli Dewan Undangan Negeri UMNO Sabah meninggalkan UMNO.

“Lima daripada enam ahli Parlimen dan dua senator juga merupakan antara yang keluar parti…ini tidak termasuk 21 daripada 25 orang ketua Bahagian UMNO yang bertindak sedemikian,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Shahir berkata, walaupun tidak menjadi satu kesalahan dari segi undang-undang pada waktu sekarang, namun, tindakan keluar parti tanpa mengosongkan kerusi bagaikan tindakan mengkhianati amanah rakyat, mengkhianati perjanjian parti, dan mengkhianati keyakinan pengundi di kawasan mereka.

Ujarnya, pemimpin seharusnya sedar bahawa kemenangan mereka semasa pilihanraya adalah disebabkan oleh jentera parti, khidmat ahli-ahli parti akar umbi, manifesto parti dan kesepakatan antara pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli parti yang mendokong calon-calon parti di setiap Parlimen atau DUN.

Di sebalik kecelaruan politik tanah air, DPIM mengucapkan tahniah kepada seluruh Ahli Parlimen dan ADUN Pas yang tidak langsung terpalit dengan isu sebegini.

“Rakyat memerhati dan melihat bahawa Ahli Parlimen dan ADUN Pas merupakan pemimpin yang berintegriti serta menjalankan amanah rakyat dan parti dengan sebulat hati.

“Rakyat telah memilih pada PRU-14…seharusnya setiap wakil rakyat bekerja keras sehingga PRU-15 dan tidak terbabit di dalam sebarang percaturan politik untuk menentukan mana-mana individu terus berkuasa atau menghalang mana-mana individu mendapat kuasa di peringkat tertinggi dalam negara kita,” ujarnya. – MalaysiaGazette