Keadaan sekitar lokasi kejadian tanah runtuh yang menyebabkan 28 keluarga yang mendiami 19 buah rumah teres dua tingkat terjejas ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Kemensah Height, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 19 SEPTEMBER 2021.

AMPANG – Kawasan-kawasan rizab sungai diminta tidak diganggu kerana besar implikasinya jika berlaku sebarang bencana, kata Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menteri Alam Sekitar dan Air itu turut menegaskan tiada sebarang binaan atau pembangunan dibenarkan untuk berada berhampiran kawasan tersebut.

“Kalau kita tengok ada kawasan yang tak patut ada binaan, sepatutnya rizab sungai ini tidak boleh ada sebarang binaan atau bangunan tetapi ada yang buat penambahan sehingga ‘makan’ rizab sungai ini.

“Bila kita hendak buat kerja-kerja pembaikan, Jabatan Pangairan dan Saliran Malaysia (JPS) akan berdepan dengan masalah antaranya perlu ada perbincangan dengan tuan rumah dan sebagainya.

“Sebab itu kita minta supaya rizab sungai ini tidak diganggu kerana implikasinya adalah apabila berlaku sesuatu di mana kita terpaksa ambil tindakan. Kita juga harap rizab sungai ini dapat dijaga oleh semua pihak,” katanya dalam sidang media selepas meninjau lokasi kejadian tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights di sini hari ini.

Tuan Ibrahim Tuan Man meninjau lokasi kejadian tanah runtuh yang menyebabkan 28 keluarga yang mendiami 19 buah rumah teres dua tingkat terjejas ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Kemensah Height, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 19 SEPTEMBER 2021.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim mengingatkan sebarang pembangunan atau pembersihan tanah di kawasan tanah yang berkecerunan 25 darjah tetapi kurang 35 darjah adalah tertakluk di bawah aktiviti yang ditetapkan di dalam Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan Alam Sekeliling) 2015.

Jelas beliau, bagi kawasan yang berkecerunan 35 darjah dan ke atas tiada sebarang pembangunan boleh dilakukan kecuali kebenaran khas daripada pihak berkuasa berkaitan.

“Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang telah menjalankan aktiviti yang ditetapkan tanpa sebarang kelulusan Laporan EIA sepertimana yang tertakluk di dalam Seksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” ujarnya.

Dalam perkembangan berlainan, Tuan Ibrahim berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menjangkakan pada hari ini dan esok akan berlaku ribut petir serta hujan pada waktu petang membabitkan kawasan Kemensah dan sekitarnya.

Tambah beliau lagi, mulai 21 hingga 23 September, dijangka cuaca hujan di satu dua tempat pada lewat petang.

“Saya berharap semua penduduk sentiasa mengemas kini maklumat berkaitan dengan cuaca. Amaran cuaca boleh diakses melalui laman web rasmi dan media sosial rasmi MET Malaysia dan aplikasi myCuaca,” katanya. – MalaysiaGazette