Satu platun pegawai dan anggota Polis Gerakan Am (PGA) dari Senoi Praaq, Batalion 3, Briged Utara ditempatkan di Temerloh bagi membantu masyarakat Orang Asli.

TEMERLOH – Satu platun pegawai dan anggota Polis Gerakan Am (PGA) dari Senoi Praaq, Batalion 3, Briged Utara ditempatkan di beberapa buah kampung orang Asli di Kuala Krau bagi melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) serta Pusat Kurantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, keanggotan platun dari Bidor itu diperlukan bagi memudahkan komunikasi kerana mereka juga terdiri daripada Orang Asli.

“PKRC di SK Panderas dan PKPD melibatkan masyarakat orang Asli di Temerloh dalam keadan terkawal dengan pemantauan rapi oleh pasukan Platun dari Senoi Praaq, Batalion 3 PGA, Briged Utara.

“Kewujudan mereka ini memudahkan komunikasi untuk memujuk mereka melakukan vaksinasi serta menerangkan tentang vaksin dan membuat ujian calitan,” katanya yang menyampaikan amanat penugasan kepada Platun dari Senoi Praaq, Batalion 3 PGA, Briged Utara.

Pasukan Senoi Praaq, Batalion 3 PGA juga telah menerima bantuan motosikal dari Timbalan Menteri Kementerian Dalam Negeri bagi membuat pemantauan dan rondaan sepanjang PKPD di kawasan ini.

PKPD melibatkan beberapa buah kampung orang Asli bermula 4 September lalu  dan seterusnya melibatkan tambahan kepada beberapa buah kampung sekitar Kuala Krau, Temerloh.

Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) dibina di SK Kg Panderas, melibatkan tujuh buah kampung perkampungan Orang Asli.

Tujuh kampung tersebut ialah Kampung Terbol, Kampung Pian, Kampung Lubuk Wong, Kampung Pasu, Kampung Paya Pelong, Kampung Penderas dan Kampung Paya Mengkuang

Dalam pada itu, sejumlah 3,880 masyarakat orang Orang Asli telah menerima dos pertama di sekitar daerah Temerloh

Manakala sejumlah 2105 masyarakat Orang Asli di Temerloh sudah lengkap dua dos vaksin. – MalaysiaGazette