Adham Baba (tengah) menyantuni salah seorang penerima vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pandu Lalu Orang Kurang Upaya, Arena Larkin, Johor Bahru.
JOHOR BAHRU – Sebanyak 1.8 peratus populasi dewasa diperlu divaksin daripada sasaran 80 peratus yang ditetapkan sebelum ini.
Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, sebanyak 78.2 peratus daripada populasi dewasa telah lengkap divaksinasi setakat semalam.
“Tumpuan ketika ini diberikan kepada negeri-negeri untuk mencapai sekurang-kurangnya 60 peratus populasi dewasa lengkap divaksinasi menjelang akhir September.
“Pada bulan ini, kadar liputan adalah lebih tinggi di beberapa negeri tertentu yang mana usaha pemvaksinan rakyat ditumpukan di negeri-negeri yang masih mencatatkan kadar vaksinasi yang lebih rendah iaitu Kelantan, Pahang, Kedah, Perak dan Sabah seperti yang telah diumumkan sebelum ini,” kata beliau kepada pemberita di sini.
Terdahulu, beliau melawat pusat pemberian vaksin (PPV) Pandu Lalu OKU Sentral di Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Johor Bahru, Arena Larkin, di sini, hari ini.
Turut hadir Presiden OKU Sentral, Senator Datuk Ras Adiba Radzi.
Dr Adham berkata, liputan vaksinasi di kebanyakan negeri di seluruh negara ketika ini berada di landasan yang baik terutamanya di Sarawak, Labuan dan di Lembah Klang yang merangkumi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Justeru, trend penurunan kadar vaksinasi dapat dilihat di kawasan tersebut, tambah beliau.
“Untuk makluman, kadar vaksinasi negara yang dicatatkan sehingga semalam adalah sebanyak 232,559 suntikan dos dengan jumlah terbesar diberi di Sabah, Johor dan Lembah Klang,” katanya.
Sementara itu ditanya mengenai vaksinasi melibatkan golongan Orang Kurang Upaya (OKU), Dr Adham berkata, mengikut data Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19, seramai 517,447 orang daripada 575,564 orang merangkumi 89.9 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.
Sementara 401,425 orang telah lengkap vaksinasi penuh meliputi 69.74 peratus jumlah OKU yang mendaftar untuk vaksinasi.
Mengenai PPV Pandu Lalu OKU Sentral, beliau berkata, ia akan mula dibuka untuk orang ramai secara ‘walk-in’ mulai esok sehingga 30 September ini. – MalaysiaGazette