Temubual eksklusif bersama Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz. Foto SYAFIQ AMBAK, 16 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengakui sukar untuknya bekerjasama dengan DAP dalam pentadbiran kerajaan.

Beliau berkata, tindakan DAP selama ini telah mengundang pelbagai masalah khususnya kepada orang Melayu.

“Sejarah 1969, kita tak akan boleh lupa dan tidak mahu berlaku lagi.

“22 bulan mentadbir, walaupun Perdana Menteri bukan dari DAP tapi Perdana Menteri ketika itu pun hanya puppet sahaja,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

DAP pada Pilihan Raya Umum ke-14 telah membentuk kerajaaan Pakatan Harapan (PH) bersama PKR, Amanah, Bersatu dan Warisan dengan Perdana Menteri adalah Tun Dr Mahathir Mohamad.

VIDEO PENUH TEMUBUAL 

https://fb.watch/86iA0DydOC/

Menerusi pentadbiran PH, beberapa perubahan telah dilakukan antaranya menutup semua rangkaian 1Malaysia yang ditubuhkan kerajaan BN sebelum ini.

Selain itu, PH juga menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Mohamed Nazri seterusnya berkata, tindakan DAP juga sering masuk campur urusan tidak berkaitan mereka hingga menimbulkan permasalahan seperti isu Tabung Haji dan Mara.

“Selain itu, kes kontraktor Mara, ramai yang ‘bungkus’ apabila tidak menerima bayaran walaupun kerja sudah siap kerana bayaran disekat.

“Mereka inilah juga yang pecah belahkan insfrastruktur di kampung. Saya tak percaya mereka,” jelasnya.

Tambah Mohamed Nazri lagi, hak-hak orang Melayu akan terus dipertahankannya biar pun tidak lagi bersama kerajaan.

Pada minggu lalu, Mohamed Nazri mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusinya dan akan bersara daripada dunia politik.

“Saya mungkin tidak ke depan tetapi suara dan pengaruh yang saya ada akan digunakan untuk pastikan kita tak akan bentuk kerajaan bersama DAP.

“Saya akan lawan mereka sebagai musuh politik dengan mereka. Mereka kacau kepentingan orang Melayu.

“Saya tetap tak boleh terima sebagai rakan dalam kerajaan. Tapi kerjasama seperti sekarang ini boleh,” ujarnya merujuk kepada kerjasama rentas parti politik bagi menstabilkan politik dalam keadaan pandemik.- MalaysiaGazette

 

*Saksikan kupasan lanjut bersama Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menerusi Eksklusif Owh!MG

1 Komen

Comments are closed.