Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad berpuas hati dengan pembukaan semula Pulau Langkawi sebagai program perintis gelembung pelancongan

Pada masa sama, Ahli Parlimen Langkawi itu menasihatkan agar aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) diperkemaskan lagi bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

Beliau turut mencadangkan jumlah penumpang pesawat dan feri dikurangkan sebagai langkah keselamatan menerusi amalan penjarakan fizikal.

“Jika tidak penumpang akan duduk berdekatan dan jangkitan mudah berlaku sungguhpun adanya ujian saringan sebelum masuk. Jarak 1 meter ini perlu dipastikan bukan sahaja dalam pesawat atau feri, ini termasuklah semasa berbaris di terminal.

“Sebaiknya SOP ialah 1 meter tiap seorang. Kita perlu ikut saranan itu. Pengurangan penumpang dalam pesawat atau feri boleh ditampung dengan penambahan kekerapan perjalanan masuk keluar ke sini,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Dr Mahathir berkata, penduduk dan pelancong juga perlu saling bertanggungjawab untuk mematuhi SOP kerana jika program gelembung pelancongan ini gagal, sudah pasti ia beri kesan negatif kepada industri pelancongan Langkawi.

“Semestinya saya gembira lihat pulau ini kembali ceria, namun semua yang datang dan tinggal di sini perlulah patuh SOP pencegahan Covid-19.

“Sejak pulau dibuka semula, sebanyak 14 kali penerbangan masuk dan tiga kali perjalanan feri dijadual ke sini. Ini akan menggerak semula ekonomi penduduk selepas berbulan pulau ini ditutup,” ujarnya.

Dr Mahathir memberitahu, beliau turut diberi taklimat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Nasaruddin Abdul Muttalib mengenai perkembangan program berkenaan.

Beliau dimaklumkan ada negara luar seperti Singapura, Russia dan Poland memohon masuk Langkawi melalui penerbangan sewa khas.

“Sebelum kita terima, kita perlu pastikan kejayaan pelancongan domestik terlebih dahulu. Kesiapsiagaan sistem kesihatan amat penting dalam menghadapi penularan luar jangka.

“Saya mengucapkan terima kasih dan selamat datang kepada semua pelawat yang memilih Langkawi sebagai tempat bercuti,” tambahnya. – MalaysiaGazette