Gambar penyerang yang memasuki kawasan universiti tersebar di media sosial. foto Twitter

MOSCOW – Sekurang-kurangnya lapan terbunuh apabila seorang lelaki bersenjata api melepaskan tembakan di kampus Perm State University

Para pelajar dan pensyarah menyembunyi diri di dalam bangunan universiti, ada juga pelajar dilihat melompat keluar dari tingkap.

Bagaimanapun polis berjaya menahan penyerang yang dipercayai seorang pelajar.

Kejadian itu berlaku pada jam 11 pagi.

Video yang tular di media sosial menunjukkan para pelajar melemparkan barang dari tingkap bangunan kampus sebelum melompat untuk melepaskan diri daripada penyerang.

Beberapa laporan mengatakan lelaki bersenjata itu telah menulis di media sosial bahawa dia bertindak sendirian dan tidak mempunyai motif politik atau agama.

Salah seorang profesor universiti itu, Ivan Pechishchev, memberitahu BBC, dia melihat pelajar berlari dari sebuah bangunan dan beberapa individu lain melompat keluar dari tingkap tingkat dua ketika dia menuju ke kelas.

Para pelajar melompat keluar dari tingkap kampus untuk menyelamatkan diri. foto TASS News Agency

“Mereka melompat dengan ketakutan, menjerit.

“Salah seorang pelajar memberitahu saya ada tembakan berlaku. Saya mendengar bunyi tembakan dan orang ramai mula bertempiaran lari,” ujarnya.

Menurut Prof Pechishchev terdapat sekitar 10 bangunan di kampus Universiti Perm dan pihak keselamatan telah segera menyekat semua laluan masuk ke bangunan universiti.

Perm State University dalam mesej di media sosial meminta pelajar yang masih berada di bangunan itu untuk kekal di dalam kelas. – BBC