Howard Lee Chuan How

KUALA LUMPUR – Takrifan bangsa Malaysia sangat penting namun masih ada yang risau jika dilaksanakan ia menyebabkan keturunan, etnik dan kaum akan terhakis.

Ahli Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji, Howard Lee Chuan How berkata, perkara itu menjadi persoalan ramai kerana mereka tidak mahu memahami dan sering dimomokkan dengan perkara yang sama.

“Sering kali kita dengar, kerisauan mengenai kaum, etnik dan keturunan itu akan terhakis lebih-lebih terkandung di dalam dokumen rasmi.

“Mereka rasa kurang Cina atau Melayu apabila mengaku Bangsa Malaysia lagi-lagi selepas ia diangkat sebagai identiti atau jati diri terpenting kita,” katanya ketika menyampaikan pembentangan Bangsa Malaysia: Asas Keharmonian Negara.

Beliau berkata, perkara itu amat merugikan walaupun tidak boleh menafikan wujud ramai penentang konsep Bangsa Malaysia.

“Tidak wujud istilah menghapuskan keistimewaan kaum dan keturuan yang sedia ada. Dalam Dewan Bahasa pun maksud ini adalah ‘bangsa’ adalah ikatan ketatanegaraan.

“Ia sepatutnya dianggap payung besar yang memberi maksud baru tentang jati diti, identiiti politik, kemasyarakatan dan bukannya melenyapkan budaya, agama dan keturunan suku kita,” jelasnya.

Howard Lee berkata, menerusi kajian yang pernah dibuat, Perlembagaan Persekutuan Malaysia, perkataan orang Melayu dan kaum jelas meletakkan perbezaan untuk menjadi ejen penyatuan.

“Kalau tak silap ia muncul 16 kali dalam perlembagaan. Bangsa hanya imbuhan kebangsaan, kebangsawanan.

“Bangsa itu dalam Bahasa Inggeris menyebut nation iaitu nasional. Sangat jauh berbeza denga napa yang difikirkan oleh sesetengah pihak.

“Dengan fakta ini, sebenarnya bangsa Malaysia bukan perkara baru pun. Sudah lama termaktub cuma diberikan nafas dalam manifestasi sendiri.

“Terpulang untuk kita kenal pasti atau memberi nilai-nilai takrifan untuk kukuhkan bangsa Malaysia, katanya.

Jelasnya, dengan pembentukan bangsa Malaysia, ia akan memberikan keharmonian kepada semua kaum di negara ini sekali gus membuka mata pelabur untuk ke negara kita.

“Banyak kebaikannya,  masalah etnik tak akan pernah selesai di Malaysia kecuali dengan bangsa Malaysia ini,” ujarnya.

Howard Lee merupakan salah seorang panel program Webinar Sempena Hari Merdeka Dan Hari Malaysia 2021 ‘Konsep Demokrasi Dan Pembinaan Bangsa Malaysia: Cabaran, Halangan Dan Masa Depan’ anjuran Institut Darul Ehsan hari ini.- MalaysiaGazette