Rekahan jalan raya di Simpang Pulai yang tular di media sosial.

KUANTAN – Menteri Besar Pahang berkata, tanah runtuh hingga menyebabkan penutupan jalan Simpang Pulai tidak membabitkan daerah Cameron Highlands

Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kesal dengan beberapa hantaran dalam media sosial mengaitkan kejadian tanah runtuh sehingga menyebabkan penutupan jalan Simpang Pulai-Blue Valley ketika ini adalah dalam daerah Cameron Highlands.

Sebaliknya, kata beliau, kejadian tanah runtuh itu ialah di KM 43.95 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley yang berada dalam daerah Kinta, Perak akibat kegagalan cerun.

Susulan itu, laluan berkenaan ditutup sepenuhnya sejak semalam.

”Saya juga kesal dengan paparan video di media sosial mengaitkan banjir lumpur yang kononnya turut berlaku di Cameron Highlands sedangkan ia berlaku di tempat lain,” katanya dalam kenyataan di sini.

Wan Rosdy berharap dengan penjelasan ini, rakyat tidak terkeliru dengan apa yang sebenarnya berlaku khususnya yang melibatkan kawasan popular seperti tanah tinggi Cameron Highlands.

Semalam, Menteri Besar Perak berkata, rekahan permukaan di Laluan Persekutuan FT 185 Seksyen 43.9, Jalan Simpang Pulai-Blue Valley di sini menghala ke Cameron Highlands, Pahang dikhuatiri akan bertambah buruk sekiranya keadaan cuaca hujan berterusan di lokasi berkenaan.

Datuk Saarani Mohamad berkata, siasatan awal di tapak mendapati terdapat rekahan ketara di permukaan jalan kira-kira sepanjang 30 meter (m) dan melibatkan pergerakan cerun yang berhampiran.

Ia mungkin faktor hujan berterusan dan menyebabkan struktur tanah jadi lemah serta tidak kukuh kerana air mengalir lebih laju yang menyebabkan berlakunya mendapan dan keruntuhan tanah. – MalaysiaGazette