Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki bercakap selepas pada Majlis Pelancaran Kempen Tuntutan Hak Penghantar Malaysia di Dataran Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 20 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mempertikaikan jumlah pemandu e-hailing yang layak menerima bantuan RM500 yang dikeluarkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, seramai 28,465 pemandu e-hailing yang layak menerima bantuan RM500 bermula 26 Julai hingga 6 Ogos lalu jauh lebih kecil daripada angka sebenar.

“Sebenarnya angka itu jauh lebih sedikit berbanding dengan mereka yang terlibat dengan industri ini. Kita nak tanya juga macam mana APAD dapat angka sebenar sebegitu rupa,

“Bagaimana perkara itu tidak tercicir, pastikan bekerjasama dengan pihak sepatutnya, dapatkan maklumat daripada pihak yang mewakili mereka.

“Bukan hanya syok sendiri oleh agensi-agensi yang boleh dipertikaikan dari mana angka-angka itu jauh lebih sedikit berbanding angka sebenar yang terlibat dalam industri ini,” katanya pada sidang media di Menara Dato’ Onn, hari ini.

Sebelum ini, seramai 27,627 pemandu e-hailing belum menerima bantuan RM500 menerusi Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) menerima bayaran itu, 10 September lalu.

Pada 8 September lalu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, berdasarkan senarai dikeluarkan APAD, seramai 56,092 pemandu e-hailing memenuhi syarat, layak menerima bantuan sekali bayaran bantuan PEMERKASA berjumlah RM500.

Sebelum ini APAD membuat pembayaran kepada 28,465 pemandu e-hailing yang layak bermula 26 Julai hingga 6 Ogos lalu.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, apa juga bantuan yang hendak diberikan oleh pihak kerajaan atau agensi-agensi di bawahnya perlu mengambil kira suara daripada pemain-pemain dalam industri ini.

“Jangan hanya syok sendiri saja, sebab itu peranan Pemuda UMNO kita melihat ini sebagai satu vakum.

“Kita akan pastikan supaya mesej ini sampai kepada kerajaan dan yang paling penting hasrat murni kerajaan hendak membantu, itu tidak tersekat dan tercicir,” katanya lagi. – MalaysiaGazette