Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin (tiga kiri) bersama Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin (dua kanan) serta Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali (kanan) bergambar dengan seorang pelajar, Haziq Zafri Hiruddin selepas menerima suntikan vaksin pada ‘Kick Off’ Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di SMK Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 20 SEPTEMBER 2021.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memperincikan program pemberian dos ketiga atau dos penggalak vaksin Covid-19 dalam masa terdekat.

“Program booster (dos penggalak) kita akan umum perinciannya mungkin seminggu dua lagi,” kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada sidang media di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Presint 8(1) bagi simbolik pelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Bagi vaksin tunggal CanSino, Khairy berkata, KKM akan memantau perkembangan daripada negara lain terlebih dahulu sebelum membuat keputusan memberikan dos penggalak.

“CanSino ada dalam permohonan ke Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) menyatakan kemungkinan dos penggalak selepas enam bulan kita akan pantau data dari negara lain yang mulakan CanSino. Kalau mereka beri CanSino (dos penggalak jenis itu) kita akan pertimbangkannya,” katanya.

Semalam, Khairy berkata, KKM bersedia untuk memulakan pemberian dos ketiga atau dos penggalak vaksin Covid-19 kepada orang awam, mulai awal bulan depan.

Antara yang diberi keutamaan ialah warga emas yang mempunyai masalah kesihatan kronik, petugas barisan hadapan yang mempunyai penyakit berisiko tinggi, individu yang mempunyai sistem imun yang lemah serta individu yang berada dan bekerja di pusat jagaan warga emas.

Untuk rekod, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga mengumumkan kerajaan bersetuju melaksanakan pemberian dos penggalak bagi golongan rentan selepas liputan imunisasi populasi dewasa di seluruh negara mencapai 80 peratus.-MalaysiaGazette