Pelancong yang baru tiba dari luar negara melakukan proses-proses prosedur wajib yang ditetapkan kerajaan sebelum dikuarantinkan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. Foto HAZROL ZAINAL, 20 SEPTEMBER 2021.- Gambar hiasan.

SEPANG – Kerajaan kini sedang mengkaji untuk mengguna pakai kaedah geofencing atau teknologi pengesanan berasaskan GPS untuk memantau pematuhan kuarantin wajib di rumah (HSO) yang lebih efisien.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang mencadangkan kaedah tersebut berkata, ia dilihat lebih mudah untuk memastikan individu-individu mematuhi tempoh kuarantin wajib yang dikenakan.

Katanya, pelaksanaannya mungkin lebih baik daripada pemberian gelang tangan yang diguna pakai ketika ini.

Memandangkan teknologi itu adalah berteraskan perkhidmatan GPS yang dihubungkan kepada peranti elektronik milik individu yang terbabit, beberapa perkara berkaitan seperti individu boleh meninggalkannya di rumah dan tetap keluar juga diambil perhatian.

Beliau memberi jaminan bahawa pihaknya mempunyai kaedah untuk pemantauan HSO yang berkesan.

Khairy berkata demikian kepada media selepas membuat tinjauan persiapan pusat saringan kesihatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menerima ketibaan pengembaran dari luar negara dalam strategi ‘Reopening Safely’ Malaysia secara berperingkat. – MalaysiaGazette