Menteri Besar of Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari illegal gambling syndicates EdisiSiasat My
Amirudin Shari

KUALA LUMPUR – Politik di Malaysia hari ini bersifat mencair dan tidak lagi berada di dalam bongkah seperti dahulu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ini merupakan sejarah baharu Malaysia apabila tidak ada majoriti dikuasai sesebuah parti di Dewan Rakyat.

“Wujud silang hubung yang cair. Penjajaran baru yang kita fikirkan.

“Inilah peluang harus direbut masyarakat termasuk pemain politik, dengan mewujudkan sebuah masyarakat yang memiliki dan melaksanakan demokrasi secara matang,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada majlis penutup program Webinar Sempena Hari Merdeka Dan Hari Malaysia 2021 ‘Konsep Demokrasi Dan Pembinaan Bangsa Malaysia: Cabaran, Halangan Dan Masa Depan’ anjuran Institut Darul Ehsan hari ini.

Bagaimanapun beliau berkata, keadaan politik pada hari ini telah menjadikan persidangan diadakan secara matang.

“Dengan ini, ia melonjak ke satu tahap dan kita semua belajar daripada kesilapan lepas.

“Wujud beberapa elemen dalam kalangan rakyat sebelum ini dan pemain politik antaranya kemarahan dan bimbang dengan bicara politik cara lama,” katanya.

Jelasnya, jika politik lama masih diamalkan ia tidak akan membawa perkembangan ke arah demokrasi matang.

“Persefahaman di antara kerajaan dan pembangkang. Ia sangat maju dari satu sudut.

“Janganlah anggap untuk politik, ia kena sekali dengan reformasi institusi kita. Hal ahli Parlimen, kualiti perbincangan dalam parlimen,” katanya.

Beliau berkata, pada Ketika ini, tiada siapa yang mempunyai majoriti kukuh dan inilah peluang untuk melakukan perubahan.

“Tetapi memastikan memartabatkan Parlimen. Saya berpeluang melihat negara-negara maju dalam proses pilihan raya. Para media di negara lain wajib memberikan laporan secara adil dan saksama.

“Dengan persefahaman itu, kita boleh menjurus ke arah itu,” katanya.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, ini merupakan masa terbaik untuk melakukan reformasi dan ia harus dituntut sebaik mungkin.

“Kita sudah hilang moral kerana kita bertanggungjawab untuk kukuhkan kerajaan yg rapuh.

“Penjarakan kita dalam pemikiran yang kita berikan kepada pihak lain. Inilah demokrasi moden dan mantap,” katanya.

Menyentuh mengenai krisis kepimpinan, Amirudin berkata, ia seharusnya dihentikan memandangkan Malaysia sudah mempunyai tiga perdana menteri dalam tempoh dua tahun.

“Bermula pada letak jawatan, penjajaran politik, langkah Sheraton. Inilah pengajaran kepada kita.

“Kita tak fanatik, tetapi perlu ada penyelesaian agar boleh memberi fokus mencari penyembuhan atau vaksin kepada virus yang ada sekarang,” katanya. – MalaysiaGazette