NILAI –  Pusat Pemberian Vaksin (PPV) IPT Mega Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengakhiri operasinya semalam dengan merekodkan kumulatif 200,665 dos vaksin yang telah disuntik kepada penerima vaksin di PPV ini sejak ia beroperasi pada 28 Jun lalu.
Beroperasi sepenuhnya di Dewan Tuanku Canselor USIM, seramai 100,795 orang telah menerima suntikan dos pertama, manakala 99,870 orang telah menerima suntikan kedua di pusat ini.
Jumlah penerima yang tinggi ini menjadikan PPV IPT Mega USIM secara langsung menyumbang kepada 26 peratus pembentukan imuniti kelompok Negeri Sembilan bagi membendung penularan Covid-19.
Exco Kerajaan Negeri selaku Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Arul Kumar Jambunathan berkata, PPV USIM  diiktiraf antara  tiga PPV terbaik di Negeri Sembilan dan juga peringkat kebangsaan.
“Kerajaan Negeri sentiasa memastikan kebajikan masyarakat terjaga terutama dalam membendung penularan Covid-19. Kalau pada hujung bulan Julai Negeri Sembilan menjadi tempat enam teratas Covid-19 kes harian tertinggi di Malaysia, sekarang kes harian Covid-19 di Negeri Sembilan telah menurun berikutan pemberian vaksin yang lebih meluas melalui penubuhan PPV (termasuk di USIM) yang membantu kita mencapai sasaran yang ditetapkan”.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa Prof Dr. Mohd Radhi Ibrahim dalam ucapannya menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua sukarelawan daripada pelbagai lapisan masyarakat dan agensi yang bertungkus lumus memastikan kelancaran PPV IPT Mega USIM ini beroperasi hingga ke hari terakhir dengan jayanya.
“Diharapkan kerjasama sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang, dan sesungguhnya penglibatan para sukarelawan ini merupakan satu contoh yang baik, kerana telah menonjolkan nilai etika yang tinggi kerana menjalankan tugas dan amanah tanpa mengira waktu, risiko dan cabaran”.

Tambahnya lagi USIM amat menghargai setiap sumbangan khususnya untuk para sukarelawan yang telah diterima daripada pelbagai pihak sepanjang PPV USIM beroperasi. – MalaysiaGazette