Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dikenakan di Taman Rimba Mentakab, Pahang sejak 7 Februari lalu akan ditamatkan esok.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Satu lagi lokaliti di Kudat Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (MKN) berkuatkuasa Rabu ini hingga 5 Oktober depan.

Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad berkata, lokaliti tersebut ialah di Kampung Garib, Matunggang.

“MKN turut melanjutkan PKPD di satu lokaliti iaitu di Kampung Dusun Pak Senam, Mukim Ulu, Jelai, Lipis di Pahang yang bermula dan tamat pada tarikh sama,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Bagaimanapun katanya, tujuh lagi lokaliti yang dikenakan PKPD akan ditamatkan esok.

Lokaliti-lokaliti tersebut adalah Kampung Tanjung Batu Tengah, Tawau; Taman Limauan, Kinarut, Papar; Kampung Pantai Emas dan Kampung Lentigi yang masing-masing terletak di Kota Belud, Sabah.

Tiga lagi lokaliti yang turut ditamatkan PKPD iaitu di Kampung Mompilis, Matunggong, Kudat; Kampung Pahu Pinawantai dan Kampung Lotong, Kota Marudu yang juga terletak di Sabah. – MalaysiaGazette