Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz. foto AFFAN FAUZI

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menggesa supaya Putrajaya tidak mengemukakan rayuan terhadap Mahkamah Tinggi yang menggugurkan rayuan ke atas keputusan yang membenarkan anak-anak yang dilahirkan kepada warga Malaysia di luar negara diberikan kewarganegaraan secara automatik.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Hal Ehwal Undang-undang) itu berkata, peruntukan perlembagaan yang hanya memberikan kewarganegaraan automatik kepada anak-anak yang dilahirkan di luar negera hanya jika ayahnya warganegara Malaysia tetapi tidak jika ibu warganegara Malaysia, jelas merupakan satu bentuk diskriminasi jantina.

Malah Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata, isu itu adalah salah satu contoh ‘pemikiran abad pertengahan’ yang perlu diubah.

“Ini adalah pemikiran abad pertengahan (medieval) dan seharusnya tidak ada pada tahun 2021. Oleh itu, saya meminta kerajaan, tarik balik (rayuan mahkamah). Tidak ada gunanya, tidak perlu.

“Saya melihat negara-negara lain, (misalnya) jika seorang rakyat Malaysia dilahirkan di AS, (AS) akan mengesannya setelah mereka berusia 18 tahun kerana ingin menuntut cukai pendapatan mereka.

“Begitulah seharusnya kita berfikir,” katanya ketika membahaskan Titah Diraja pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Pada 9 September lalu, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur memutuskan anak-anak yang dilahirkan ibu warga Malaysia di luar negara secara automatik akan diberikan kewarganegaraan Malaysia.

Berikutan itu, kerajaan dilaporkan telah memfailkan notis rayuan untuk mengetepikan keputusan tersebut.

Perkara sama turut mendapat perhatian Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang turut menggesa Kerajaan Persekutuan menggugurkan rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi.

Baginda bertitah, semua anak rakyat Malaysia yang dilahirkan di luar negara mesti diberikan hak kerakyatan negara ini. – MalaysiaGazette