Datuk Takiyuddin Hassan. foto FAREEZ FADZIL.

KUALA LUMPUR – Bencana kepala air Gunung Jerai yang berlaku di Kedah bulan lalu adalah takdir Allah, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata demikian semasa sidang mesyuarat pertama penggal keempat Parlimen ke 14 hari ini.

“Apa yang kita amat dukacita berlaku satu bencana, act of God (satu takdir Allah) iaitu berlakunya,” katanya menjawab soalan lisan kedua Dewan Rakyat oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR).

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson (PKR) sebelum itu bertanya sejauh mana pemantauan kementerian terhadap aktiviti pembalakan di kawasan hutan khasnya kawasan yang digazet sebagai hutan simpanan dan tindakan yang diambil terhadap kes-kes pelanggaran namun mempersoalkan jawatan Takiyuddin.

Anwar Ibrahim

Anwar bingkas bangun dengan mempersoalkan mengapa Takiyuddin menyalahkan tindakan Allah sedangkan ia adalah aktiviti rakus manusia.

“Masalah alam semulajadi ini jangan nak salahkan Allah, kadang-kadang masalah manusia. Ini dulu pun begitu (jawab) semasa mantan Menteri Kerja Raya bila ada sahaja perobohan tanah, act of God.

How do you know act of God? (bagaimana kamu tahu ia adalah takdir Allah) bila manusia itu rakus merosakkan balak,” bidas Anwar.

Menjawab pertanyaan itu, Takiyuddin berkata, dakwaan itu adalah tidak benar kerana sebarang aktiviti pembalakan di kawasan yang telah diisytiharkan sebagai Geopark Kebangsaan pada 23 November 2018.

“(Ahli Parlimen) Port Dickson kacau saya pagi ini. Pembalakan sebagaimana yang disebut Port Dickson ini bahawa Jerai ini adalah satu kawasan yang telah diisytiharkan sebagai National Geopark of Jerai pada 2018.

“Atas status National Geopark aktiviti pembalakan memang tidak dijalankan di kawasan itu,” jawab Ahli Parlimen Kota Bharu itu.

Jelas Takiyuddin lagi, berdasarkan kepada kenyataan negeri Kedah mendapati kawasan itu tidak diberikan lesen untuk usaha hasil walaupun sejumlah 25,000 hektar telah diluluskan sejak 2014 hingga 2019.

“Hutan Simpan Kekal Ulu Muda ini tidak diluluskan untuk membalak. Saya lihat sendiri air itu turut membawa akar-akar pokon menunjukkan tidak ada aktiviti pembalakan di kawasan Jerai ini, inilah yang disebut takdir Allah.

“Kementerian Tenaga dan Sumber Asli melalui Jabatan Perhutanan akan melaksanakan program restorasi kawasan hutan termasuklah kawasan Jerai,” katanya lagi.

Untuk rekod, RM75 juta telah diluluskan oleh kerajaan untuk projek-projek dan proses restorasi. – MalaysiaGazette