Mohd Azis Jamman

KUALA LUMPUR – Parti Warisan Sabah (Warisan) mendedahkan bahawa pihaknya diminta untuk bersetuju dahulu mengenai memorandum persefahaman (MoU) kerajaan dengan gabungan Pakatan Harapan (PH), kata Ketua Wiranya, Datuk Mohd Azis Jamman.

Malah Azis berkata, sekiranya Warisan tidak bersetuju dengan MoU itu, pihaknya boleh menarik diri daripada memorandum berkenaan.

“Bukankah agak melucukan bagi kita apabila diminta untuk setuju dahulu kemudian jika tidak menepati cita rasa, kita tarik MoU itu.

“Sebelum ini juga kita sering mengatakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah kerajaan pintu belakang dan rakyat bertanya adakah dengan MoU ini secara tidak langsung kita mengiktiraf kewujudan kerajaan yang merampas mandat rakyat ini.

“Persoalan seumpama inilah yang mengakibatkan rakyat di luar sana keliru akan tindak tanduk kita sebagai pemimpin,” katanya pada Perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Bagaimanapun, Azis tidak memperincikan pemimpin mana yang memberikan arahan untuk Warisan bersetuju dahulu dengan MoU berkenaan.

Pada minggu lalu, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, pihaknya hanya bersetuju dengan gabungan pembangkang, Pakatan Harapan (PH) mengenai pelaksanaan Undi 18 tahun yang perlu disegerakan selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Shafie berkata, parti itu tidak terlibat dengan sebarang rundingan lain termasuk usaha menjayakan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) untuk mengembalikan kestabilan politik negara.

Mengulas lanjut, Azis yang juga Ahli Parlimen Sepanggar memberitahu, Warisan tidak pernah dilibatkan mengenai MoU itu dari peringkat awal.

Malah kata beliau, pihaknya hanya dijemput ketika sesi talimat untuk bersetuju dengan MoU itu.

“Kami tidak pernah dilibatkan daripada awal tentang perbincangan MoU ini dengan kerajaan. Jika adapun sekadar jemputan untuk ditaklimatkan akan persetujuan akan MoU ini dengan kerajaan.

“Ini mungkin berlaku disebabkan kami bukan sebahagian daripada PH dan kami tidak dilibatkan dari peringkat awal,” katanya.

Bagaimanapun, Azis menjelaskan, parti itu tidak ada halangan untuk menyokong transformasi dibawah MoU antara kerajaan dan pembangkang selagi mana ia memberi manfaat kepada rakyat secara keseluruhannya.

“Kita perlu menghormati dan meraikan akan perbezaan pendapat kerana pihak pembangkang melihatkan dari sudut yang berbeza tapi kami di pihak Warisan jangan pula dikatakan tidak mengutamakan kepentingan rakyat, tidak menyokong transformasi kerajaan dan parlimen dan kononnnya tidak patuh kepada saranan YDPA agar fokus pada pemulihan negara wajar diutamakan,” katanya lagi.

MoU itu antara lain memperincikan enam transformasi utama Pemerkasaan Pelan Covid-19, Transformasi Pentadbiran dan Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

MoU itu ditandatangani pada 13 September lalu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan disaksikan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dan empat wakil PH, iaitu Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng; Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu serta Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau. – MalaysiaGazette