KUALA NERANG – Persepsi tanaman lemon hanya sesuai ditanam di kawasan beriklim sejuk ternyata tidak benar apabila buah itu boleh hidup subur di kawasan beriklim tropika seperti Malaysia.

Ini terbukti melalui usaha bekas jurutera telekomunikasi, Zulkhairi Kassim, 55, yang berjaya ‘menghidupkan’ tanaman lemon di Kampung Baru Lubuk Labi di sini dengan menggunakan teknik pembajaan organik.

Lebih menarik, ladang lemon seluas 5.1 hektar di kawasan itu mempunyai lebih 1,500 pokok daripada 15 varieti lemon termasuk daripada spesies yang jarang ditemui di dunia.

Antara varieti lemon termasuk Bhudda’s Hand (kiri) di ladang milik Zulkhairi.

Antara varieti lemon yang ditanam termasuk Eureka, Citrus, Lisbon, Mayor, Iranian Lemon, Bhudda’s Hand, Kamquat, Melbourne, Ponderosa dan Lime Quat.

Zulkhairi berkata, tanaman lemon yang diusahakan sejak lima tahun itu bermula dengan pembelian 10 pokok dari Sicily, Itali ketika mengadakan lawatan ke negara tersebut bersama beberapa agensi kerajaan dari Kedah.

Zulkhairi.

Jelasnya, beliau memilih untuk menanam lemon selepas kematian anak keduanya, Amani Hanani akibat leukemia kerana percaya buah itu mampu mencegah pelbagai penyakit termasuk kanser.

Zulkhairi menunjukkan lemon jenis Eureka (kanan) dan lemon tanpa biji yang dihasilkan di ladangnya.

Zulkhairi menghabiskan masa hampir dua tahun untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi mengkaji ‘perangai’ tanaman berkenaan sebelum kini berjaya menghasilkan ribuan pokok lemon.

“Kini, saya mampu memetik 50 hingga 100 kilogram lemon sehari dan kesemua lemon yang dihasilkan daripada ladang ini adalah secara organik.

“Hasil lemon ini dijual secara runcit dengan harga RM6 sekilo kepada penduduk negeri Kedah dan ada juga permintaan dari Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Johor.

Zulkhairi (kiri) menghasilkan ladang lemon pertama di Kampung Baru Lubuk Labi, Kuala Nerang, Kedah.

“Kebanyakan pokok menghasilkan buah berusia setahun lebih dan saya belum ‘intai’ pasaran komersial malah permintaan lemon kian meningkat dalam kalangan penduduk setempat susulan pandemik Covid-19 dengan alasan ia mampu meningkat tahap imunisasi badan,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di ladang Hannanis Agrotech di sini semalam.

Mengulas lanjut, Zulkhairi berkata, dia menyasarkan penanaman lemon itu akan berkembang dalam kalangan petani sekali gus menjadikan Kedah sebagai pengeluar lemon terbesar di Malaysia.

“Jika kita sendiri dapat menghasilkan pengeluaran lemon, kerajaan tidak perlu lagi import buah itu dari luar negara kerana saya difahamkan 600 juta lemon diimport setiap tahun.

Zulkhairi memiliki 1,500 pokok lemon pelbagai jenis.

“Selain manfaat buah, daun lemon juga boleh digunakan bagi menghasilkan essential oil serta serbuk lemon untuk kegunaan produk-produk kesihatan.

“Sehubungan itu, saya juga berharap golongan petani berubah ke tanaman baharu iaitu lemon kerana hasilnya lumayan dan ia berbuah sepanjang tahun,” kata Zulkhairi.

Sebiji lemon seberat 500 gram pernah dihasilkan daripada ladangnya.

Orang ramai yang ingin melihat cara penanaman lemon atau memetik sendiri buah tersebut boleh mengunjungi ladang lemon Hannanis Agrotech yang dibuka bermula jam 9 pagi sehingga 6 petang setiap hari. – MalaysiaGazette