porn PdPR RBT examination Form Two students
Picture for representational purposes only.

KUALA LUMPUR – Pemanjangan tempoh persekolahan 2021 sehingga Februari tahun depan dan pembukaan semula sekolah ada kebaikannya, tetapi ia juga membawa implikasi kepada pihak sekolah.

Keadaan akan menjadi sangat rumit apabila terdapat murid masuk kelas dan yang lain mahu terus belajar di rumah.

Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Besar Malaysia, Lim Bee Khim berkata, keadaan itu bermakna pihak sekolah perlu memikirkan pelbagai isu yang akan timbul termasuk bagaimana menjalankan penilaian untuk dua kumpulan pelajar yang ada di kelas dan di alam maya.

Katanya, pelajar yang tidak datang ke sekolah juga dikhuatiri akan ketinggalan dalam pelajaran selepas kehilangan motivasi untuk belajar.

“Murid yang tidak datang ke sekolah hanya boleh belajar sendiri menggunakan Google Classroom kerana cikgu sudah masuk kelas fizikal. Keadaan ini bermakna kelas dalam talian juga sudah berbeza,” katanya kepada Nanyang Siang Pau.

Beliau berkata, kelas fizikal dikhuatiri tidak dapat memberi kesan optimum jika hanya 10 peratus murid yang sanggup masuk kelas apabila sekolah dibuka semula.

“Kelas dalam talian mencatatkan kehadiran sekurang-kurangnya 80 peratus pelajar dan terdapat 20 peratus yang tercicir.

“Tetapi keadaannya mungkin bertambah teruk jika hanya 10 peratus murid masuk sekolah dan bakinya memilih belajar sendiri di rumah. Tanpa model kelas dalam talian, mereka yang memilih untuk belajar sendiri di rumah mungkin menjadi lebih bosan untuk belajar,” katanya.

Walau bagaimanapun, Bee Khim menegaskan pembukaan semula sekolah merupakan khabar baik untuk pelajar luar bandar yang mungkin berdepan masalah dari segi rangkaian Internet.

Katanya, kelas dalam talian memang menjejaskan prestasi murid terutamanya jika ibu bapa tiada masa untuk memantau perkembangan pelajaran anak mereka.

“Dalam kelas talian, ramai murid segan untuk bertanya atau tidak tahu macam mana mahu bertanya soalan kepada cikgu.

“Malahan ada yang sanggup menutup kamera kerana takut dipilih cikgu untuk menjawab soalan,” katanya.  – MalaysiaGazette