Nga Kor Ming

KUALA LUMPUR – Tugasan Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming untuk mempengerusikan mesyuarat Dewan Rakyat secara sementara tidak menjadi, dipercayai kerana menerima tekanan daripada seorang menteri kanan.

Sinchew Daily melaporkan, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun telah melantik Kor Ming untuk menjadi speaker sementara mengikut peraturan mesyuarat 7 (3).

Bagaimanapun, keputusan itu terpaksa ditangguhkan selepas Azhar menerima panggilan telefon daripada seorang menteri kanan pada 1.50 petang.

Kor Ming ketika dihubungi Sinchew Daily mengesahkan bahawa beliau menerima surat daripada Azhar yang memintanya menjadi speaker sementara dari 2.30 hingga 4 petang pada Isnin.

Sekiranya keadaan itu menjadi, sejarah akan tercatat kerana buat julung kalinya, wakil rakyat pembangkang akan mempengerusikan mesyuarat Dewan Rakyat.

Artikel berkaitan:

Sebelum ini, Datuk Seri Azalina Othman Said yang telah meletak jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat juga pernah menjadi speaker sementara pada Rabu lalu.

Kor Ming yang merupakan pemimpin DAP pernah menjadi Timbalan Yang di-Dipertua Dewan Rakyat di bawah kerajaan pimpinan Pakatan Harapan sebelum ini.

Mengikut peraturan mesyuarat 7 (3), Yang di-Dipertua boleh meminta seorang ahli mempengerusikan mesyuarat dan ahli itu tetap diserah kepadanya semua kuasa berkenaan sehingga Yang di-Dipertua balik semula mengetuai mesyuarat. – MalaysiaGazette