Pekerja membuat persiapan untuk dine-in ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Restoran Marrakesh, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 19 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Kekurangan tenaga kerja dalam sektor-sektor tertentu akan menjejaskan pembukaan ekonomi oleh kerajaan.

Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, isu kekurangan tenaga kerja, selain dari sektor kritikal iaitu sektor makanan dan peruncitan besar perlu mendapat perhatian serius.

“MEF menyokong pembukaan ekonomi dan majikan pula mahu memulihkan perniagaan mereka, tetapi mereka di sektor ini kecewa dengan kekurangan pekerja.

“Walaupun kadar pengangguran lebih tinggi terutama dalam kalangan belia, majikan di sektor ini masih menghadapi kesulitan untuk mendapatkan tenaga kerja yang diperlukan untuk perniagaan mereka.

“Industri di sektor ini terus menderita akibat kekurangan tenaga kerja,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sebagai contoh adalah perniagaan makanan, walaupun dibenarkan beroperasi namun kebanyakan mereka hanya menawarkan makanan untuk dibawa balik disebabkan isu ini.

“Peniaga-peniaga makanan berdepan dengan kesukaran kerana tidak mampu mendapat tenaga kerja yang boleh melakukan kerja-kerja yang diperlukan,” tambah Syed Hussain.

Menurutnya, kerajaan perlu menyedari tidak semua perniagaan dapat dijalankan secara digital kerana kebanyakan sektor ini masih bergantung pada tenaga kerja manual.

“Kami mendukung usaha untuk mengurangkan kebergantungan pada pekerja asing di sektor-sektor tertentu, tetapi kerajaan harus menangani masalah yang kompleks ini berdasarkan sektoral kerana banyak sektor juga bergantung pada tenaga kerja asing, selain daripada sektor perladangan dan pembinaan.

“MEF mengakui kerajaan mungkin menghadapi kerumitan dalam berurusan antara kerajaan-kerajaan untuk mencari pekerja asing, namun hakikatnya ekonomi tidak dapat dipulihkan jika semua elemen ini tidak dapat disediakan,” ujar beliau.

Katanya, Malaysia tidak dapat melaksanakan pemulihan pada tahap optimum jika hanya bergantung kepada pekerja domestik dan jika keadaan ini berlanjutan, masalah lain akan timbul.

Lantaran itu, menurutnya, MEF berharap kerajaan fokus dan berusaha untuk menyelesaikan masalah ini.

Sebaik-baiknya, perlu ada keseimbangan antara berniaga dan penawaran pekerja asing. – MalaysiaGazette