Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini sebulat suara membatalkan saman pemula seorang peguam yang mencabar kesahihan pengampunan penuh yang diberikan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain itu, nasihat Lembaga Pengampunan juga telah gagal dibatalkan berhubung kes liwat bekas pembantu Anwar.

Saman pemula itu dikemukakan Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz

Keputusan itu dibuat oleh tiga panel hakim diketuai Datuk Has Zanah Mehat yang bersidang bersama Datuk Mohd. Sofian Abd. Razak dan Datuk Lee Heng Cheong.

Panel hakim tersebut juga membenarkan rayuan Presiden PKR itu dan Lembaga Pengampunan tanpa sebarang kos.

Masing-masing sebulat suara merasakan rayuan kedua-dua pihak mempunyai merit memandangkan saman pemula dikemukakan oleh Mohd Khairul tidak memberikan gambaran klausa tindakan munasabah.

Has Zanah berkata, Mahkamah Tinggi terkhilaf kerana tidak mematuhi senarai autoriti Mahkamah Persekutuan terdahulu.

“Ini kerana keputusan Yang di-Pertuan Agong memberi pengampunan merupakan kuasa prerogatif yang tidak boleh dipertikai atau disahkan di mahkamah,” katanya ketika menyampaikan keputusan itu melalui atas talian.

Oleh yang demikian panel Mahkamah Rayuan kemudian memutuskan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan Anwar dan Lembaga Pengampunan untuk membatalkan saman pemula tersebut.

Mereka berpandangan saman pemula itu tiada hak di sisi undang-undang untuk mempersoal pengampunan penuh yang diberikan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertauan Agong kepada Anwar. -MalaysiaGazette