Gambar hiasan

CEREDIGION – Orang ramai diminta tidak menghampiri anak anjing laut selepas seekor ditemui mati akibat ibunya ketakutan apabila para pengunjung pantai berswafoto.

Anak anjing laut itu ditemui di pantai berhampiran Llangrannog di Ceredigion.

Pihak berkuasa tempatan telah meletakkan papan tanda dan memberi risalah bagi memberi peringatan kepada orang ramai supaya tidak mengganggu anak anjing laut tetapi tidak dipedulikan.

Anjing laut kadangkala ditemui di perairan Welsh antara bulan Ogos dan Disember, ketika musim pembiakan.

Sekiranya terdapat orang ramai di pantai, ibu anjing laut tidak akan datang kepada anaknya untuk diberi makan.

Akibatnya anak-anak anjing laut ditinggalkan.

Menurut Welsh Partnership of Marine Protected Areas, gangguan terhadap hidupan liar semakin meningkat ketika lebih banyak orang mengunjungi pantai.

Pegawai Pemuliharaan Kawasan Khas Cardigan Bay, Melanie Heath, berkata: “Anak anjing laut memerlukan ruang dan masa untuk berehat dan membesar, mereka diberi makan oleh ibu mereka hanya tiga minggu sebelum mengurus diri sendiri.

“Sepanjang tempoh itu anak anjing laut itu perlu ruang kerana gangguan menyebabkan pengabaian dan kematian,” kata Heath.

Manakala Ahli Majlis Ceredigion, Rhodri Evans berkata: “Makhluk ikonik yang indah ini adalah binatang liar, jadi jaga jarak dan lihatnya dari jauh”. – BBC