Seorang pengurus besar sebuah syarikat pengeluar kereta ditahan reman enam hari bagi membantu siasatan kerana dipercayai menerima rasuah bernilai ratusan ribu ringgit daripada syarikat kereta terpakai di Mahkamah Majistret Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 21 SEPTEMBER 2021.

PUTRAJAYA – Seorang pengurus besar sebuah syarikat pengeluar kereta ditahan reman selama enam hari kerana dipercayai menerima rasuah bernilai ratusan ribu ringgit daripada syarikat kereta terpakai tiga tahun lalu.

Suapan itu sebagai balasan membantu syarikat kereta terpakai itu memperoleh kereta untuk dijual di bawah harga pasaran dan tidak mengikut prosedur.

Perintah reman bermula hari ini sehingga 26 September ini dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya selepas pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan tersebut pagi tadi.

Terdahulu lelaki itu tiba di perkarangan Istana Kehakiman Negara pukul  9.08 pagi tadi dengan diiringi pegawai SPRM.

Menurut sumber, kegiatan yang dipercayai dilakukan sejak tahun 2019 itu tidak melalui proses penjualan yang diluluskan.

Keseluruhan kerugian dianggarkan mencecah jutaan ringgit membabitkan penjualan hampir 1,000 unit kereta.

Difahamkan, kereta pra pengeluaran yang dijual itu dikhaskan untuk kegunaan di kilang pengeluar bagi tujuan ujian dan kawalan kualiti sebelum pengeluaran sebenar kereta model tersebut dijual di pasaran.

Selain itu, terdapat juga kereta-kereta trade-in daripada pelanggan yang membeli kereta baharu daripada syarikat pengeluar kereta tersebut turut dijual kepada syarikat kereta terpakai itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette