Pemain Malaysia, Muhammad Syafiq Ahmad diasak keras pemain Vietnam semasa perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki antara Malaysia menentang Vietnam yang berkesudahan 2-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 11 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Skuad bola sepak negara, Harimau Malaya bakal berhadapan cabaran hebat dalam kejohanan Piala AFF 2020 apabila diundi bersama juara bertahan Vietnam dan saingan utama Indonesia dalam Kumpulan B.

Turut diundi dalam kumpulan itu ialah Kemboja dan Laos dalam edisi ke-13 kejohanan berprestij bola sepak Asia yang dijadualkan bermula dari 5 Disember tahun ini sehingga 1 Januari tahun depan.

Pasukan yang paling berjaya di dalam kejohanan itu, Thailand akan menjadi pilihan utama Kumpulan A yang terdiri daripada Myanmar, Filipina dan Singapura dan pemenang pusingan kelayakan antara Brunei dan Timor-Leste, dalam format perlawanan tunggal kali ini.

Acara pengundian berlangsung secara maya dan strim langsung dalam saluran YouTube rasmi kejohanan Piala AFF Suzuki. Hanya dua pasukan teratas di peringkat kumpulan akan mara ke separuh akhir.

Dalam edisi sebelumnya dalam 2018, Malaysia di bawah bimbingan Tan Cheng Hoe muncul naib juara selepas tewas dengan agregat 2-3 pada final.

Presiden Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF), Mejar Jen Khiev Sameth semasa ucapan pembukaan berkata, kejohanan itu akan berlangsung dalam venue berpusat kali ini berikutan ancaman pandemik COVID-19 berbanding dengan format timbal balik di gelanggang sendiri dan lawan dari peringkat kumpulan hingga ke final, sebelum ini.

Kejohanan ini yang sepatutnya berlangsung tahun lepas, ditangguhkan setahun kerana pandemik COVID-19.

Malaysia memenangi piala itu hanya sekali pada 2010 sejak kejohanan dwitahunan itu bermula pada  1996 dan menjadi naib juara dalam 1996, 2014 dan 2018 dan merupakan antara empat negara yang menjuarai kejohanan itu.

Thailand merupakan pasukan paling berjaya dengan lima kejuaraan (1996, 2000, 2002, 2014 dan 2016) diikuti Singapura dengan empat kejuaraan (1998, 2004, 2007 dan 2012) dan Vietnam (2008 dan 2018).

 

Senarai penuh undian: 

Pusingan kelayakan: Brunei lwn Timor-Leste.

Pusingan akhir:

Kumpulan A: Thailand, Myanmar, Filipina, Singapura dan pemenang pusingan kelayakan.

Kumpulan B: Vietnam, MALAYSIA, Indonesia, Kemboja dan Laos. – Bernama