Pasukan polis dari daerah Shah Alam sedang memeriksa pematuhan SOP di sebuah kelab golf dan disusuli kompaun kerana kegagalan kakitangannya mematuhi SOP yang ditetapkan termasuk tidak mendaftar pengimbasan Kod MySejahtera.

KUALA LUMPUR – Polis Shah Alam hari ini telah menafikan dakwaan sebuah kelab golf di daerah itu kerana ketua balai tidak dapat bermain golf secara percuma.

Pemangku Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay Anak Embol berkata, dakwaan yang cuba menfitnah Ketua Balai Polis Bukit Jelutong, Inspektor Saipol Paizi Zainol yang mengaitkannya tidak mendapat persetujuan daripada Ketua Polis Daerah (OCPD) Shah Alam sebelum mengarahkan serbuan dibuat.

Malah Saipoldi katakan enggan meminta kebenaran daripada OCPD dengan alasan ‘tidak mahu kacau bos’ pada cuti umum Hari Malaysia, 16 September lalu.

“Serbuan itu dibuat selepas polis menerima aduan orang awam pada tarikh berkenaan.

“Dalam isu tomahan terhadap Ketua Polis Balai Jelutong, ingin diutarakan bahawa beliau bukan seorang pemain golf, he is not a golfer. Operasi pematuhan dan pemantauan SOP Covid-19 terhadap semua kelab golf akan dijalankan dari semasa ke semasa terutamanya enam kelab golf di bawah pentadiran (IPD) Shah Alam.

“Polis IPD Shah Alam menyeru dan berharap agar masyarakat atau mana-mana pihak perlu mendapatkan informasi betul dan sahih sebelum menular isu yang boleh mengaibkan mana-mana pihak,” kata dalam kenyataan, semalam.

Menurut Ramsay, susulan dakwaan palsu itu, ketua balai polis berkenaan telah membuat satu laporan polis untuk siasatan lanjut dan pihalnya akan menjalankan siasatan.

Mengulas lanjut, susulan serbuan yang dilakukan di kelab golf terbabit, pasukan pemantau pematuhan prosedur telah mengeluarkan sebanyak tujuh kompaun atas kesalahan kegagalan mematuhinya dengan jumlah keseluruhan bernilai RM38,000.

Ujar beliau, kompaun berkenaan dikeluarkan ke atas majikan golf berkenaan kerana gagal memastikan pekerja daftar masuk dalam aplikasi MySejahtera sebelum masuk ke dalam premis tersebut, tidak menyediakan laluan keluar masuk dan tidak memaparkan notis hanya individu lengkap dua dos vaksin dibenarkan masuk.

“Sementara itu, empat lagi kompaun sebanyak RM2,000 setiap satu pula dikeluarkan kepada empat orang pekerja premis itu akibat kegagalannya mendaftar masuk dalam aplikasi MySejahtera.

“Polis menyeru agar semua pihak terutamanya warga Shah Alam perlu lebih cakna dan sentiasa mematuhi SOP yang di keluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.-MalaysiaGazette