Noor Dellhan Yahaya

KUALA LUMPUR – Sebuah video memaparkan aksi sekumpulan individu berbasikal secara beramai-ramai di ibu negara yang tular di laman sosial dilaporkan berlaku pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya mengesan sebuah video berdurasi 59 saat di laman Facebook ViralMeletop hari ini yang menunjukkan sekumpulan individu berbasikal.

“Hasil penelitian ke atas video berkenaan mendapati aktiviti tersebut berlaku pada Sabtu lalu sekitar pukul 11.40 malam di Jalan P. Ramlee menghala ke KLCC.

“Polis Dang Wangi yang mengesan aktiviti tersebut bertindak menyuraikan mereka kira-kira pukul 11.48 malam di Jalan Sultan Ismail/ Jalan Medan Tuanku dengan memberi amaran serta menasihatkan supaya pulang ke rumah masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam masa sama, beliau turut menasihati ibu bapa agar memantau anak-anak di bawah usia 17 tahun daripada terlibat dalam aktiviti tersebut.

Pihak polis juga ingin mengingatkan masyarakat untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara Fasa 2, katanya.

“Pihak polis ingin memohon kerjasama daripada orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkenaan pelanggaran SOP di sekitar Dang Wangi.

“Mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di talian 03-26002222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai berhampiran,” ujarnya.

Terdahulu menerusi rakaman video yang tular menunjukkan aksi sekumpulan anak muda menunggang basikal secara berbahaya tanpa menghiraukan kenderaan lain di atas jalan raya.

Video tersebut menerima pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-rata mengecam perbuatan mementingkan diri itu. – MalaysiaGazette