Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Dr. Sha'ari Ngadiman.

SHAH ALAM – Seramai 2,529 remaja Selangor telah diberikan suntikan vaksin Covid-19 dos pertama keluaran Pfizer BioNTech setakat 20 September lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Dr. Sha’ari Ngadiman berkata, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bagi remaja (PICK-R) di Selangor dijalankan di 53 Pusat Pemberian Vaksin Klinik Kesihatan (PPV KK) secara temujanji atau walk-in.

“Pelaksanaan PCK remaja pelajar sekolah bagi sekolah Kementerian Pendidikan (KPM) dijalankan dengan kerjasama di antara Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.

“Pelaksanaan PICK-R bagi remaja berumur 12-17 tahun dengan masalah kesihatan tertentu (comorbid) telah bermula pada 15 September di 13 PPV) di hospital (SPPV) dan 53 Pusat pemberian Vaksin (PPV) di Klinik Kesihatan (PPVKK),

“Pelaksanaan PICK-R pelajar sekolah di Selangor bagi Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 yang berumur 16 dan 17 tahun juga telah dimulakan pada 20 September 2021,” katanya pada sidang media di pejabat Jabatan Kesihatan Negeri Selangor hari ini.

Dr. Sha’ari berkata, sebanyak 399 sekolah terdiri daripada sekolah di bawah KPM, sekolah di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan sekolah swasta.

“Bilangan pelajar sekolah Tingkatan 4 dan 5 yang telah dikenal pasti di Selangor adalah seramai 142,203 pelajar,” katanya.

Dalam pada itu, seramai 6,095 pelajar Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 yang bersekolah asrama di luar Selangor tetapi menetap di Selangor dikenal pasti untuk menerima vaksin Covid-19.

“Jumlah keseluruhan pelajar yang dikenal pasti akan diberikan vaksin di negeri Selangor adalah 148,298 pelajar.

“Pada masa ini, terdapat sebanyak 25 Pusat Pemberian Vaksin Sekolah (PPV Sekolah) yang telah dikenalpasti di Selangor bagi pemberian vaksin bagi pelajar-pelajar ini secara temujanji,” katanya.

Sementara itu, pelaksanaan Program Imunisasi Remaja di institusi selain dari institusi pendidikan akan dijalankan secara jangkau luar oleh pasukan vaksinasi.

“Semua institusi berkaitan perlu membuat pendaftaran melalui Portal Vaksin Anakku serta berhubung dengan Pejabat Kesihatan Daerah berdekatan.

“Pelaksanaan program di kalangan remaja ini dapat meningkatkan imuniti kelompok dan seterusnya aktiviti persekolahan dapal dimulakan di Selangor,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast