Sutekno Ahmad Belon

KUALA LUMPUR – Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK) sentiasa memberi peluang kepada pelbagai pihak untuk berkongsi pengetahuan dan kemahiran bagi membantu agensi itu memerangi masalah penyalahgunaan dadah, substan dan pelencongan sosial.

Ketua Pengarahnya, Sutekno Ahmad Belon berkata, antara kaedah untuk mendapatkan kerjasama itu ialah dengan menganjurkan simposium yang melibatkan kira-kira 1,300 peserta.

Katanya, peserta itu terdiri daripada pegawai AADK, pengerusi dan ahli jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah (JKPD), Ahli Lembaga Pelawat PUSPEN dan wakil badan bukan kerajaan (NGO).

Turut serta, kata beliau, pengusaha Pusat Pemulihan Dadah Persendirian, klien AADK dan rakan pejuang kepulihan yang menjadi contoh kepada masyarakat dalam mengekalkan kepulihan.

“Objektif utama kita untuk peserta berkongsi pengetahuan dan kemahiran dengan lebih luas dalam membantu AADK secara kolaboratif memerangi masalah penyalahgunaan dadah, substan dan pelencongan sosial.

“Simposium ini dipadatkan lagi dengan wacana ilmu dan mengetengahkan mereka yang pakar dan mempunyai pengalaman luas dalam membantu penagih dadah,” katanya dalam ucapan sempena Simposium Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah (JKPD) dan Hari Kepulihan AADK peringkat kebangsaan, hari ini.

Simposium dua hari berakhir esok itu dirasmikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Menurut Sutekno, inspirasi kepulihan dan transformasi pendekatan rawatan serta pemulihan menterjemahkan komitmen dan semangat AADK untuk berani berubah dalam mencari formula terbaik dalam membantu klien yang terlibat dengan masalah penagihan dadah.

Beliau berharap, simposium dua hari itu memberi peluang kepada klien AADK berkembang menjadi individu lebih baik melalui tayangan video persembahan daripada PUSPEN, termasuk merasai perkhidmatan disediakan.

“Semoga pendekatan pelaksanaan simposium berkonsepkan 3D Expo secara virtual ini akan memberikan pengalaman baharu yang tidak dapat dilupakan.

“Penggunaan platform webinar adalah pilihan terbaik pada masa ini. Mungkin ini adalah satu pengalaman baru bagi sesetengah orang.

“Melalui perantaraan alat komunikasi, kita dapat berinteraksi secara langsung, melalui gambar video ataupun sembang di ruang chat yang disediakan dengan lebih mudah dan tanpa gangguan,” katanya. – MalaysiaGazette