PU Syed Bakri.

KUALA LUMPUR – Bekas perserta program Pencetus Ummah (PU) Syed dikecam  gara-gara mengeluarkan kenyataan mendesak Ebit Lew ‘membuka mulut’ menafikan segala dakwaan membabitkan diri pendakwah itu ketika ini.

Perkara itu dimaklumkan PU Syed atau nama lengkapnya, Syed Mohd. Bakri Syed Ishak menerusi hantaran status dalam Facebook.

“Kena kecam doh ambe (saya). Tokleh (tak boleh) usik langsung. Kuat back up. Cuma ambe nak kena kabo satu benda, tentang ambe, kot terlupa, #AdeAmbeTakut (ada saya takut),” tulisnya.

Juara PU musim ketiga itu tidak kisah dikecam kerana percaya masing-masing punya jari untuk menulis apa sahaja namun yang berkuasa adalah Allah.

“Kecamlah selagi boleh. Sebab masing-masing ada jari-jemari untuk menaip. Kelak di akhirat hanya kita dan Allah sahaja berhadapan untuk dihitung dan dihisab,” katanya.

Semalam, PU Syed menulis satu hantaran di Facebook meminta Ebit berhenti mendiamkan diri dan melakukan sesuatu terhadap segala fitnah dan dakwaan dilemparkan kepadanya.

“Pendedahan demi pendedahan yang berani telah dibuat terhadap UEL (Ustaz Ebit Lew). Maka, saya minta UEL agar tampil ke hadapan dengan menafikan atau menyaman mereka yang anda anggap sebagai fitnah.

“Walaupun kes ini masih dalam siasatan polis, masyarakat khasnya followers anda perlu diberi pencerahan setuntasnya (tentang isu ‘panas’ yang sedang terpalit ini),” tulisnya.

PU Syed berkata, sebolehnya dia enggan mempercayai segala fitnah yang dilemparkan kepada Ebit namun apabila semakin ramai mangsa tampil ke hadapan membuat laporan polis, kepercayaannya semakin mengendur.

“Ada beberapa video yang saya dapat daripada hamba Allah namun saya terus memadamnya serta memadam nombor (telefon) orang yang menyalurkan video tersebut kerana saya masih bersangka baik bahawa semuanya adalah penipuan.

“Namun apabila semakin ramai para asatizah muncul mendakwa perkara yang serupa dan disokong dengan laporan-laporan polis yang telah dibuat oleh ‘mangsa’, maka sangka baik saya semakin mengendur. Saya berharap isu ini dapat diadili dengan sebaik-baiknya serta membongkar kisah sebenar.

“Biarlah kita diadili di dunia, jangan nanti di akhirat kita akan merana. Pintu dan ruang taubat masih terbuka luas buat kita semua. Namun kemaksiatan dan kebiadaban perlu dibanteras agar tidak menular dalam kalangan masyarakat, apatah lagi jika muncul dari orang yang dihormati masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, menerusi hantaran status sama, PU Syed menasihatkan agar masyarakat tidak bersikap taksub terhadap seseorang hanya kerana kebaikan yang dipertontonkan.

“Setiap kebaikan pasti akan dikenang, namun janganlah menggunakan kebaikan itu untuk menutup kesalahan-kesalahan yang dilakukan.

“Taksub pengikut juga adalah satu barah, taksub kepada kebaikan suatu yang dipuji syarak tetapi jika taksub secara melulu sehingga tidak nampak langsung buruk yang sedang ditampal adalah sesuatu yang mendukacitakan,” luahnya.

Sebelum itu, pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung menerusi siaran Telegramnya mendedahkan rakaman suara dan tangkap layar perbualan lucah yang dikatakan milik seorang pendakwah terkenal iaitu Ustaz Ebit Lew.

Menurut Firdaus, pendedahan itu dibuat berdasarkan kiriman serta permintaan daripada mangsa sebagai memberi kesedaran kepada masyarakat dan mengalakkan mereka yang pernah menjadi mangsa untuk tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan.

Semua bukti tersebut telah pun diserahkan kepada pihak polis.

Firdaus berkata, dia dan pasukannya sedia berdepan dengan tindakan saman sekiranya terdapat pihak tertentu ingin mengambil tindakan undang-undang.

Jelasnya, mereka akan tetap bersama dengan mangsa-mangsa untuk mendapatkan keadilan serta memperjuangkan kebenaran.

Pada 20 Ogos lalu, siasatan ke atas Ebit Lew dilakukan berikutan aduan diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) daripada beberapa individu yang mendakwa pendakwah itu melakukan gangguan seksual.

Polis mengesahkan menggeledah rumah pendakwah terkenal tersebut bagi melengkapkan siasatan.

Ebit mendakwa, kes berkenaan adalah satu fitnah yang sangat kejam dan melampau. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Firdaus Wong dedah bukti perbualan lucah pendakwah terkenal

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast