Minister of Transport Datuk Seri Dr Wee Ka Siong train crash LRT Kelana Jaya hostler negligence counterflow driving against traffic flow driver fatal road accidents
Datuk Seri Dr Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Kapal-kapal asing yang terlibat dengan pembaikan kabel dasar laut masih diberikan Lesen Perkapalan Dalam Negeri (DSL) untuk beroperasi di perairan negara walaupun pengecualian Dasar Kabotaj bagi kapal asing dibatalkan.

Memaklumkan perkara itu di Dewan Rakyat, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, ini dibuktikan dengan kelulusan 10 DSL yang diberi kepada dua buah kapal asing yang sama bagi tempoh Disember 2020  hingga Ogos 2021.

Beliau berkata, kelulusan DSL telah diberikan dalam tempoh tiga hari sahaja berbanding lima hingga tujuh hari yang diambil sebelum ini ketika pengecualian tersebut masih berkuat kuasa.

“Pengecualian yang diberikan sebelum ini hanyalah merujuk kepada pengecualian ke atas proses pengesahan ketiadaan kapal tempatan yang perlu diperoleh oleh semua kapal asing yang ingin memohon untuk mendapatkan DSL.

“Kapal-kapal asing masih perlu memiliki DSL yang sah sebelum ianya memulakan operasi di perairan negara.

“Pengecualian diberikan sejak 1 April 2019 berikutan isu kelewatan pengeluaran DSL. Namun dengan penambahbaikan yang telah dilaksanakan, termasuk penggunaan sistem eDSL, proses pengesahan telah dapat dipercepatkan.

“Kementerian Pengangkutan juga telah menyediakan Garis Panduan yang terperinci berhubung proses rundingan dan mediasi dengan mengambil kira keperluan sebagaimana yang dimohon oleh Malaysian Investment Development Authority (MIDA),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Titah Diraja mengenai Kementerian Pengankutan di Dewan Rakyat hari ini.

Ka Siong menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng (PH) mengenai isu pembatalan pengecualian Dasar Kabotaj bagi kapal asing yang melaksanakan kerja-kerja pembaikan kabel dasar laut di bawah seliaan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Dalam pada itu, Ka Siong memberitahu, pihaknya berpandangan kerajaan perlu mengimbangi usaha-usaha membina kapasiti industri perkapalan tempatan, meningkatkan keupayaan dalam sektor perkhidmatan domestik dan mengurangkan kebergantungan negara kepada kapal asing.

Katanya, kerajaan juga perlu memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terjamin dengan mengurangkan pengoperasian kapal asing di perairan Malaysia dengan pertimbangan-pertimbangan lain.

“Perkara ini perlu dibincangkan secara menyeluruh dan MOT juga akan membentangkan dasar ini kepada Jemaah Menteri pada awal 14 Oktober 2021 selepas menerima ulasan daripada semua Kementerian dan agensi berkaitan untuk menentukan hala tuju berkaitan dasar ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette