Anggota Parlimen Sipitang Yamani Hafez Musa, yang juga anak kepada bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman, mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Rakyat hari ini.
Yamani Hafez Musa

KUALA LUMPUR – Kerajaan masih membincangkan cadangan pemberian moratorium pinjaman tanpa faedah terakru kepada rakyat dengan institusi perbankan.

Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa berkata, perbincangan itu memerlukan masa kerana membabitkan keputusan komersial antara bank, lembaga pengarah dan pemegang saham.

Bagaimanapun, satu rumusan sedang diusahakan dengan mengambil kira kesan jangka panjang terhadap peminjam, pendeposit, pelabur, institusi kewangan dan ekonomi negara.

“Kerajaan juga memahami masalah dihadapi rakyat dan akan mempertimbangkan pelbagai cadangan yang dikemukakan,” katanya pada sesi penggulungan Titah Diraja bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian susulan cadangan yang dikemukan Ahli Parlimen (PH-Port Dickson), Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya kerajaan mengusahakan pengecualian faedah bagi moratorium pinjaman bank untuk suku keempat tahun ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen (BN-Pontian), Datuk Seri Ahmad Maslan menggesa kerajaan segera memutuskan perkara itu kerana pemberian moratorium pinjaman tanpa faedah terakru dinanti-nantikan oleh rakyat.

“Kita difahamkan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz (berkata) bahawa perkara itu sudah selesai dan salah satu perkara dalam perjanjian persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang ialah menyelesaikan moratorium pinjaman tanpa faedah terakru.

“Tetapi jawapan timbalan menteri kewangan nampaknya perkara itu belum selesai.

“Saya harap perkara ini diselesaikan dengan kerajaan memutuskan tidak ada faedah terakru terhadap moratorium pinjaman. Itu diharapkan ramai di luar sana,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Yamani Hafez berkata, kerajaan akan membentangkan cadangan di Dewan Rakyat bagi meningkatkan siling perbelanjaan Kumpulan Wang Covid-19 sehingga RM110 bilion pada Disember ini.

Ujarnya, kenaikan itu bagi menampung komitmen bayaran keseluruhan yang sehingga kini sudah mencecah RM91.8 bilion.

“Masih terdapat beberapa inisiatif yang sedang dalam pelaksanaan dan akan tamat sepenuhnya pada Disember 2021 antaranya Bantuan Khas Covid-19 (BKC), Geran Khas Prihatin 4.0, bantuan kehilangan pekerjaan serta diskaun khas bil elektrik.

“Terdapat juga beberapa inisiatif yang pelaksanaannya melangkau sehingga tahun depan termasuklah Program Subsidi Upah, Program Pengekalan Pekerjaan, Program Insentif Pengambilan Pekerja, bantuan latihan dan program peningkatan kemahiran, Program Jaringan Prihatin dan perbelanjaan lain Covid-19,” tambahnya. – MalaysiaGazette