EPF i-Citra withdrawal dividend 2021 Najib Razak

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedia mempertimbangkan cadangan untuk menaikkan had pengeluaran i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pertimbangan itu mengambil kira semua bentuk bantuan yang telah dan akan disalurkan oleh kerajaan, bagi meringankan beban ahli KWSP yang terjejas akibat penularan Covid-19, kata Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa.

“Pertimbangan kenaikan had pengeluaran i-Citra juga akan mengambil kira keperluan untuk mengimbangi antara keperluan semasa dan kepentingan simpanan persaraan untuk masa hadapan dengan kadar negara dijangka mengalami penuaan penduduk pada 10 hingga 15 tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika penggulungan ucapan menjunjung kasih Titah Dirajanbagi pihak Kementerian Kewangan di Parlimen hari ini.

Sebelum ini, Ahli Parlimen (BN-Pekan), Datuk Seri Najib Tun Razak pada sesi perbahasan Titah Diraja mencadangkan agar had pengeluaran i-Citra dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM10,000.

Katanya, ia perlu dibuat dengan syarat kerajaan mesti bersungguh memulakan usaha untuk menaikkan semula aset KWSP dengan memberi lebih banyak peluang perniagaan bagi syarikat dimilikinya.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan skim i-Survive membabitkan pemberian pinjaman automatik sehingga RM5,000 kepada orang ramai.

Dalam pada itu Yamani berkata, kementerian mengambil maklum cadangan yang dikemukakan oleh bekas perdana menteri itu sebagai usaha untuk menambah aliran tunai kepada setiap isu rumah yang memerlukan.

Pada masa sama katanya, kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk pemberian pelbagai bentuk bantuan tunai langsung kepada kumpulan sasar.

Ia termasuk memberikan Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan Bantuan Khas Covid-19 (BKC) serta bantuan kehilangan pekerjaan dengan jumlah keseluruhan peruntukan bagi tahun 2021 sebanyak RM17.1 bilion termasuk RM15.2 bilion yang telah disalur kepada akaun penerima, tambahnya. – MalaysiaGazette