Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Malaysia dijangka mencapai status ‘negara tua’ menjelang tahun 2030 apabila 15.3 peratus daripada keseluruhan jumlah penduduk berusia 60 tahun dan ke atas.

Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff, jumlah itu berdasarkan unjuran daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, yang sekali gus menyaksikan populasi warga emas ketika itu menjangkau kira-kira 5.8 juta.

Kata beliau, ketika ini jumlah penduduk di Malaysia ialah 38.1 juta.

“Oleh itu, adalah penting bagi warga emas untuk terus kekal aktif dan produktif seiring dengan peningkatan usia mereka,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan kini merencanakan hala tuju baharu yang lebih realistik bagi pemantapan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) untuk memberikan kesejahteraan kepada golongan itu.

Justeru, katanya, kementeriannya mengalu-alukan pandangan daripada semua pihak terutama ahli PAWE, ahli akademik, agensi kerajaan dan swasta serta Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Penubuhan PAWE ini merupakan tindakan proaktif kementerian dalam menyediakan platform untuk warga emas terlibat dan kekal produktif dalam komuniti setempat.

“Sehingga kini, terdapat 143 PAWE yang ditubuhkan dan beroperasi meliputi 131 kawasan Parlimen di seluruh negara, manakala 49,627 ahli berdaftar adalah warga emas pelbagai bangsa dan agama yang terlibat secara aktif di PAWE,” katanya.

Kata Siti Zailah, kerajaan menyasarkan menjelang 2030 akan mempunyai sekurang-kurangnya 222 PAWE di setiap Parlimen.

Menurut beliau, kerajaan benar-benar hendak memastikan agenda ke arah penuaan sihat, aktif dan produktif dapat terus dilaksanakan, selari dengan Dasar Warga Emas Negara dan Pelan Tindakan Warga Emas Negara 2011. – MalaysiaGazette