Mohamed Azmin Ali Gombak voters fiduciary duties deceit
Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Malaysia merekodkan pencapaian memberangsangkan menerusi pelaburan berjumlah RM107.5 bilion dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan sektor utama bagi tempoh Januari hingga Jun lalu.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, ia melibatkan 2,110 projek yang dijangka dapat menjanakan 44,994 peluang pekerjaan.

Tambah beliau, bagi tempoh sama juga, pelaburan langsung asing (FDI) turut melonjak dengan ketara sebanyak 214.9 peratus kepada RM62.5 bilion berbanding dengan tempoh yang sama tahun lalu iaitu RM19.8 bilion.

Beliau turut memberitahu The World Competitiveness Yearbook bagi tahun 2021 melaporkan kedudukan Malaysia di tangga ke-25 dari 64 ekonomi berbanding kedudukan ke-27 pada tahun 2020.

“Malaysia juga di kedudukan ke-2 di rantau Asia Tenggara dari aspek Trade Connectivity dalam laporan DHL Global Connectedness Index (GCI) bagi tahun 2020.

“Negara turut berada di kedudukan ke-4 bagi global offshoring destination sebagai pusat pembuatan yang paling kompetitif antara 17 ekonomi dalam Kos Operasi Pembuatan bagi tahun 2020 seperti yang dilaporkan oleh KPMG dan The Manufacturing Institute,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab rangkuman soalan bertulis di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Mohamed Azmin menambah, dalam usaha memastikan Malaysia terus kekal sebagai destinasi pelaburan utama di rantau ini, Jemaah Menteri pada 21 April lalu telah bersetuju dengan dasar pelaburan baharu negara berasaskan Aspirasi Pelaburan Nasional (National Investment Aspirations-NIA) yang mensasarkan pelaburan berkualiti tinggi berintensifkan modal dan teknologi.

Jelas beliau, pembaharuan kepada agenda pelaburan itu melibatkan lima teras utama iaitu meningkatkan economic complexity; mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi; meningkatkan integrasi rangkaian ekonomi serantau dan global;  membangunkan kluster baharu dan sedia ada serta mempertingkatkan keterangkuman.

Menurutnya, NIA akan memberi fokus kepada sektor yang mempunyai potensi ekonomi yang signifikan dan lestari dalam jangka masa panjang, dengan menekankan elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

“Meskipun berhadapan dengan situasi pandemik Covid-19 yang mencabar, Malaysia masih kekal kompetitif dan berdaya saing dalam menarik pelaburan ke dalam negara.

“Kerajaan yakin bahawa kedudukan Malaysia yang strategik, persekitaran perniagaan dan ekosistem yang kondusif, serta inisiatif-inisiatif strategik berkaitan pelaburan akan terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi terpilih di rantau ini,” katanya. – MalaysiaGazette