SEELONG – Biar pun lebih seminggu berlalu, namun insiden empat penduduk Kampung Baru Sri Aman di sini mengalami sesak nafas dan pengsan selepas terhidu pencemaran sisa kimia industri berbahaya masih tidak dapat dilupakan.
Penduduk kampung yang terletak di Kempas itu bukan sahaja mengalami trauma malah keadaan kesihatan mereka turut terjejas.
MalaysiaGazette yang turun meninjau keadaan terkini di kampung tersebut menemui salah seorang penduduk Rozina Ahamad, 46, yang mengadu mengalami lemah-lemah badan dan sesak nafas.
Lebih membimbangkan, katanya, lidahnya sering ‘kebas’ menyebabkan dia tidak selesa dan dihantui perasaan risau akan keadaan kesihatannya.
“Memang sejak perkara itu berlaku saya rasa badan selalu lemah dan sesak nafas. Di bahagian lidah pula rasa ‘pedar’ macam kebas dan keras. Memang tidak selesa,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Baru Sri Aman di sini, hari ini.
Artikel berkaitan:
Bercerita lebih lanjut, Rozina juga mengakui sehingga hari ini beliau masih fobia dengan kejadian yang pertama kali berlaku itu.
Katanya, sebelum kejadian beliau sekeluarga selalu menghabiskan masa duduk bersama-sama di pangkin di luar rumah malah adakalanya sehingga jam 1 pagi.
“Tetapi selepas kejadian kita tidak berani duduk lama-lama, sekadar jam 10 malam kami akan masuk ke dalam rumah,” katanya.
Rozina juga tidak lagi membenarkan bapanya Ahmad Abdul, warga emas berusia 82 tahun yang kini kurang sihat keluar rumah untuk tempoh yang lama.
Ini kerana, katanya, walaupun sudah lapan hari kejadian pencemaran sisa buangan industri itu berlaku namun sisa minyak di anak sungai berhampiran rumahnya masih mengeluarkan bau kurang menyenangkan.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati kedudukan rumah Ruzina hanya 30 meter dari anak sungai lokasi sisa kimia berbahaya itu mengalir, menyebabkan keluarganya antara yang paling terjejas dalam insiden itu.
“Saya memang cukup takut nak bagi bapa saya keluar rumah sisa bau itu masih ada. Keadaan ini juga membuatkan kami jadi fobia, kami tidak mahu insiden seperti Sungai Kim Kim berulang,” katanya.
Awal malam Selasa lalu, MalaysiaGazette melaporkan, empat penduduk Kampung Baru Sri Aman, Seelong pengsan manakala ratusan lagi terpaksa dipindahkan selepas terhidu bau busuk disyaki bahan kimia daripada sungai berhampiran kampung itu.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, empat wanita berusia antara 22 hingga 49 tahun itu dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) bagi mendapatkan rawatan kecemasan.
Sehubungan itu, arahan pengosongan kampung itu dibuat dengan 102 penduduk kampung terpaksa dipindahkan sementara ke Balai Raya Kampung Sinaran Baru, sebelum kesemua mereka dibenarkan kembali ke rumah keesokan harinya. – MalaysiaGazette