Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tiba di mahkamah bagi menghadiri prosiding hujahan akhir kes pendakwaan atas pertuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram yang melibatkan Yayasan Akalbudi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 22 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Pasukan pendakwaan yang diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran memulakan hujah akhir dalam kes rasuah melibatkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi milik bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ketika ini, Ahmad Zahid yang juga bekas menteri dalam negeri (KDN) sedang menghadapi 47 tuduhan dengan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah.

Selain itu Ahmad Zahid juga berdepan dengan 27 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi yang diasaskan olehnya.

Semalam peguam mewakili tertuduh Hisyam Teh Poh Teik berkata Ahmad Zahid tidak sepatutnya didakwa atas lapan pertuduhan rasuah yang dihadapinya berdasarkan bukti tidak berkualiti yang dikemukakan pendakwaan.

Jelas beliau, kebanyakan saksi utama dan penting tidak ada memberi keterangan kononnya ada unsur rasuah di pihak tertuduh.

Hisyam berkata, saksi utama pendakwaan iaitu Junaith Asharab Md Shariff, Abu Hanifah Noordin, Chew Ben Ben dan Azlan Shah Jaffril telah memberitahu mahkamah wang yang diberikan kepada Ahmad Zahid adalah bagi tujuan amal serta sumbangan politik dan bukan rasuah.

“Daripada keterangan keempat-empat saksi bagi tuduhan rasuah itu, tidak ada seorang pun yang mengatakan bahawa wang tersebut telah diberikan secara salah anak guam kami.

“Pelik mengapa pertuduhan itu dikemukakan … kecualilah mereka (pendakwaan) dapat mengemukakan mana-mana kes yang seseorang itu didakwa walaupun saksi mengatakan bahawa wang tersebut bukan bentuk rasuah,” kata peguam itu.

Hisyam berhujah,  saksi itu juga mengesahkan tiada siapa yang mengarahnya menulis perkataan ‘amal’ di dua keratan cek tersebut.

Selain itu, saksi itu juga menyatakan telah ‘sumbangan politik untuk TPM’ pada cek RM1,000,000 kerana bertujuan untuk membantu kerajaan ketika itu yang akan berdepan musim pilihan raya.

Manakala peguam bela, Hamidi Mohd. Noh berhujah tiga keping cek keseluruhan berjumlah RM2 juta diterima Presiden UMNO itu menerusi Tetuan Lewis & Co adalah untuk tujuan sumbangan amal.

Jelasnya, dua keping cek adalah sumbangan amal jariah manakala satu lagi untuk sumbangan politik.

Hamidi juga berkata, tiga pertuduhan iaitu melibatkan pertuduhan ke-16, 17 dan 18 tidak kukuh dipertuduhkan terhadap anak guamnya.

Sebelum ini berdasarkan ketiga-tiga pertuduhan itu, Ahmad Zahid dituduh menerima tiga cek berjumlah RM300,000, RM1 juta dan RM700,000 pada 3 Ogos 2017 daripada Azlan Shah selaku Pengarah Profound Radiance Sdn. Bhd.

Ia sebagai suapan bagi melantik syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan OSC Pakistan dan Nepal.

Pendakwaan kesemua kes itu dibuat mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan hukuman di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Prosiding ketika ini bersambung di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah sebentar lagi. -MalaysiaGazette