ROSOL WAHID
Rosol Wahid

KUALA LUMPUR – Kartel-kartel daging yang pernah menggemparkan negara beberapa bulan lalu akan dibicarakan di mahkamah pada 14, 15 dan 16 Disember ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, kartel-kartel yang terlibat telah didakwa pada bulan Februari lalu.

Menurut beliau, kementerian itu tidak akan berkompromi dengan hal-hal yang berkaitan makanan halal.

“Kami juga menyeru pengguna di luar sana, jika ada sesuatu yang meragukan, boleh melaporkan kepada kita dan kita akan mengambil tindakan serius kerana hal berkaitan makanan halal adalah sesuatu yang tidak dapat kita kompromi,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) berhubung status sindiket kartel daging sejuk beku import.

Rosol berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga sedang membangunkan alat untuk mengenal pasti status halal terhadap produk-produk lain, selain makanan.

Jelasnya, alat itu berupaya mengesan penggunaan bahan tidak halal pada kosmetik dan kulit babi dan anjing pada pakaian.

Setakat Ogos tahun ini, sebanyak 228 kes melanggar status halal meliputi produk berkaitan makanan dikesan membabitkan nilai rampasan sebanyak RM11.616 juta.

“Kita melakukan pemeriksaan terhadap logo halal dan produk halal itu sendiri. Sijil halal dikeluarkan JAKIM, jadi kita hanya menguatkuasakan penggunaan dan penandaan logo halal.

“Pemeriksaan turut dilakukan secara berkala bersama JAKIM, malah pemeriksaan turut dibuat di tempat-tempat penyembelihan, kilang memproses dan premis makanan,” ujarnya. – MalaysiaGazette