Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bercakap pada sidang media khas di Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 02 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kini dalam proses menyediakan garis panduan operasi perniagaan premis makanan di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) ke arah fasa endemik negara.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, garis panduan itu akan dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk penilaian sebelum diumumkan dan kemudian dipanjangkan kepada kerajaan negeri untuk dilaksanakan PBT.

Jelas beliau, perlu ada keseragaman dalam operasi perniagaan di seluruh negara untuk memudahkan rakyat dan peniaga yang mungkin memiliki cawangan di beberapa negeri.

Beliau bersetuju dengan saranan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang pernah menyuarakan pendapat perlu ada kelonggaran diberikan kepada pemilik restoran untuk menyediakan tempat makan di luar premis kerana ia sebenarnya dapat mengurangkan risiko dijangkiti Covid-19.

“Saya bersetuju dengan saranan ini, malah ia antara pelan pelaksanaan yang sedang disediakan dan diteliti oleh pihak kementerian ke arah fasa endemik di negara ini. Pastinya setiap saranan yang baik sentiasa diambil perhatian,” katanya dalam hantaran di Facebooknya, hari ini.

Pada Oktober tahun lalu, bekas Perdana Menteri itu memberi pandangan, tempat makan di luar memberi pengudaraan lebih baik berbanding dalam premis, apatah lagi yang tertutup.

Mengulas lanjut, Reezal berkata, KPKT juga akan berbincang serta mendapatkan panduan daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) mengenai sistem pengudaraan dalam premis terutama restoran berhawa dingin dan tidak memiliki ruang luar.

“Saya berharap kita semua sentiasa mematuhi dan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerana kerjasama semua akan dapat membawa kejayaan dalam memerangi pandemik ini,” katanya. – MalaysiaGazette